Tiga tahun tak jumpa anak, Tom Cruise beri alasan sibuk
Madiha Abdullah
Ogos 14, 2016 17:47 MYT
Ogos 14, 2016 17:47 MYT
AKTOR Hollywood terkenal, Tom Cruise, dilaporkan sudah tiga tahun tidak berjumpa dengan anaknya, Suri.
Suri, 10 tahun, merupakan anak Cruise hasil perkahwinan dengan pelakon Katie Holmes.
Laporan eksklusif yang dikeluarkan oleh sebuah majalah hiburan beberapa hari lalu itu turut mendedahkan Cruise juga tidak pernah menghubungi anaknya dalam tempoh tersebut.
Difahamkan, Cruise, 54, sering memberi alasan sibuk dengan penggambaran, sebagai alasan untuk tidak bertemu Suri.
Ia mungkin ada kebenarannya, memandangkan Cruise muncul dengan sekurang-kurangnya satu filem setiap tahun, selepas bercerai dengan Holmes.
Sumber terdekat dengan keluarga Holmes memberitahu, dia sangat terkilan dengan apa yang berlaku.
"Banduan pun boleh bertemu dan berhubung dengan anak. Saya tidak faham apa yang difikirkan Cruise," kata sumber itu seperti yang dipetik dalam laporan majalah berkenaan.
Beberapa portal hiburan pula melaporkan, fahaman Scientology yang dipegang Cruise menjadi sebab mengapa hubungannya dengan anak tunggalnya itu renggang.
Malah, ia juga dikatakan penyebab runtuhnya rumah tangga Cruise dan Holmes, 37, yang berkahwin selama enam tahun dari tahun 2006 hingga 2012.