Tiga minggu lawan jangkitan COVID-19, bapa Azlan Typewriter meninggal dunia

Astro Awani
April 21, 2021 20:05 MYT
Bapa penyanyi Azlan Typewriter meninggal dunia petang Rabu selepas tiga minggu bertarung nyawa melawan jangkitan COVID-19. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bapa penyanyi Azlan Typewriter meninggal dunia petang Rabu selepas tiga minggu bertarung nyawa melawan jangkitan COVID-19.
Allahyarham Sallehudin Che Ani, 68, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.25 petang di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang.
Azlan yang popular dengan lagu "Jangan Khianati Aku" itu bagaimanapun sedih apabila hanya mampu melihat detik terakhir pemergian bapanya menerusi panggilan video.
“Ayah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.25 petang tadi (Rabu).
"Perasaan saya sayu apabila tengok sendiri Allahyarham perlahan-lahan menghembuskan nafas terakhir.
“Pihak hospital beri kebenaran kami buat panggilan video dan semua adik-beradik saya pun ada sekali dalam sesi tersebut.
“Bila sampai tahap tak boleh uruskan jenazah sebab COVID-19, saya hanya berserah kepada ketentuan Allah,” katanya.
Jenazah Allahyarham Sallehudin diuruskan pihak hospital sehingga ke liang lahad berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) penyakit berjangkit yang ditetapkan.
Azlan sebelum itu memaklumkan bahawa ayahnya sudah tiada harapan untuk hidup selepas dijangkiti COVID-19 dan ditambah lagi dengan penyakit kronik yang dialami bapanya.
BACA: Bapa tenat akibat COVID-19, Azlan Typewriter reda
Kali terakhir dia bertemu dengan bapanya sekitar tiga minggu lalu sebelum arwah dimasukkan ke hospital.
AWANIxGEMPAK | Bapa tenat akibat COVID-19, Azlan redha
#bapa #Azlan Typewriter #meninggal dunia #jangkitan #COVID-19 #ICU #penyakit berjangkit #unit rawatan rapi #jenazah #Hospital Selayang