Tidak tuntut nafkah, Adira faham keadaan Datuk Red

Gempak
April 24, 2024 12:55 MYT
Adira tidak menuntut sebarang nafkah daripada bekas suaminya yang juga usahawan Datuk Red atas kehendaknya sendiri.
KEPUTUSAN penyanyi Adira Suhaimi tidak menuntut sebarang nafkah daripada bekas suaminya yang juga usahawan Datuk Red atau Datuk Seri Adnan Abu atas kehendaknya sendiri.
Menurut peguam syarie yang mewakili Adira iaitu Nor Saidah Zakaria, Adnan juga bersetuju untuk melepaskan anak guamnya dengan syarat penyanyi itu tidak menuntut apa-apa.
“Datuk Red bersetuju untuk cerai kalau Adira tidak menuntut apa-apa. Tapi keputusan itu pun atas kehendak Adira sendiri,” kata peguamnya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Adira memberitahu dia tidak mahu apa-apa daripada Adnan kerana memahami keadaan bekas suaminya itu kini dalam keadaan susah.
“Yang saya pasti, saya tidak mahukan apa-apa sebab saya tak nak susahkan lagi Datuk Red... dia pun tengah down. Kita doakan yang terbaik untuk dia.
“Saya percaya kalau rezeki dia murah, ada bahagian untuk anak-anak saya,” ujarnya kepada Gempak.
Sementara itu, penyanyi lagu Ombak Rindu ini berkata, dia juga tidak menghalang untuk bekas suaminya bertemu dengan anak-anak mengikut persetujuan bersama.
“Buat masa sekarang, anak-anak saya yang jaga. Tetapi tidak menghalang sekiranya dia ingin menjenguk, mengikut persetujuan kami sendiri,” katanya.
Adira juga memberitahu anak-anak mereka masih belum mengetahui mengenai perceraian itu namun yakin akan diketahui tidak lama lagi.
“Saya tak beritahu anak-anak. Tapi mereka mesti akan tahu. Sebab mereka pun sudah pandai membaca,” ujarnya.
Rumah tangga penyanyi Adira Suhaimi dengan usahawan Datuk Red berakhir perceraian dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, pada pagi Rabu.
Adnan yang dikenali sebagai Datuk Red, 46 melafazkan talak tersebut di Mahkamah Rendah Syariah Gambak Barat, Rawang, Selangor.
Kes tersebut didengar di hadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Omar sekitar pukul 9.45 mengesahkan lafaz tersebut adalah sah mengikut hukum syarak.
Terdahulu, Adira memfailkan perceraian terhadap suaminya, Datuk Red atau nama sebenar Datuk Seri Adnan Abu pada 25 Oktober 2023.
Kemudian, pada 5 Mac lalu, prosiding keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) antara mereka gagal apabila penyanyi itu tetap nekad untuk berpisah.
Imbas kembali, Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 2. - Gempak
#Adira bercerai #Adira dan Datuk Red bercerai #talak satu #Adira isteri kedua
;