Tidak semestinya perlu ada album penuh untuk buat konsert solo - Aina Abdul

Asyraf Roslan
Oktober 25, 2023 13:13 MYT
Aina berpendapat, tidak semestinya penyanyi yang tidak mempunyai album penuh tiada peluang untuk mengadakan konsert solo. - Foto Instagram/@ainaabdul
KUALA LUMPUR: PENYANYI terkenal, Aina Abdul tidak bersetuju apabila ada beberapa pihak sering mempersoalkan kenapa dia berani menganjurkan konsert solo sedangkan belum punya album penuh.
Dalam hal ini, pelantun lagu 'Sumpah' itu berpendapat, pandangan negatif atau stigma sedemikian harus dikikis dalam pemikiran masyarakat.
Ini kerana, tegasnya, tidak semestinya penyanyi yang tidak mempunyai album penuh tiada peluang untuk mengadakan konsert solo.
Bahkan, pendapat yang mengatakan penyanyi yang sekadar mempunyai beberapa single sahaja hanya layak menjayakan pementasan berskala kecil atau mini konsert juga harus diketepikan.
“Saya sedih dan tidak bersetuju. Ramai yang cakap kenapa nak pergi konsert Aina Abdul? Lagu dia berapa kerat sahaja. Benda macam ini buat saya 'down' (kecewa).
"Kalau kita tengok artis luar negara, ada yang hanya mempunyai dua lagu, tetapi tetap lakukan konsert. Kalau di luar negara boleh, kenapa di sini tidak boleh. Saya rasa stigma ini perlu diubah.
"Untuk penyanyi generasi baharu macam saya, walaupun kita tak punya banyak lagu hit, kita masih boleh lakukan persembahan seperti 'showcase' dan sebagainya," ujarnya.
Sehubungan itu, Aina Abdul atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 30, mengakui dia sangat tercabar dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh maestro Datuk Ramli MS bahawa setiap penyanyi perlu ada album penuh untuk menganjurkan konsert sewaktu mereka sama-sama menjurikan program Big Stage lalu.
"Sebenarnya waktu Tok Ram (Ramli) cakap begitu saya menggeletar. Walaupun malam itu belum berakhir, saya sudah rasa yang semua orang sedang ketawakan saya. Saya dapat rasa orang sedang kata padan muka, padan muka.
"Ketika itu saya rasa tercabar dan rasa sangat kerdil ketika itu duduk bersebelahan dengan Tok Ram. Saya rasa seperti nak balik waktu itu. Kalau saya ada magik, saya nak siapkan album pada ketika itu juga dan tunjukkan padanya.
"Tetapi saya jadikan perkara ini sebagai pembakar semangat untuk saya hasilkan album," ujarnya.
Aina juga tidak menafikan bahawa pelancaran album Imaji sebelum menjelang konsertnya di Axiata Arena adalah untuk menutup mulut pihak yang sering mempersoalkan kenapa dia mahu menganjurkan konsert solo sedangkan belum mempunyai album.
Imaji yang memuatkan 14 buah lagu baharu ciptaan sepenuhnya Aina Abdul ini diterbitkan oleh Aina Abdul Entertainment Sdn Bhd.
Penyanyi yang sangat terkenal kerana keberaniannya memperaga fesyen pelik turut bekerjasama dengan empat penerbit tersohor iaitu Mac Chew, Jenny Chin, Ezra Kong dan Affan Mazlan.
Antara lagu yang terkandung di dalam album ini ialah Jangan Mati Rasa Itu, Imaji, Puas Sudah, Kejam, Bilang, Lost, Penat Jiwa dan banyak lagi.
#Aina Abdul #IMAJI #konsert #album baharu
;