Tidak salah berbaik kerana anak - Erra Fazira
Gempak
Jun 1, 2014 08:52 MYT
Jun 1, 2014 08:52 MYT
“Walaupun kita sudah berpisah, tanggungjawab terhadap anak tetap diutamakan. Disebabkan itu kami boleh bersatu dan bersama.
“Tetapi jangan salah faham, maksud saya bukan bersatu (berkahwin) kembali tetapi berbaik demi anak. Niat Emran itu saya faham, dia mahu tunjuk yang kami tetap ‘bersama’ walaupun bukan lagi sebagai suami isteri,” kata Erra merujuk kepada gambar yang dinaikkan bekas suami, Engku Emran di laman Instagram pada Selasa lalu.
Tambah Erra yang ditemui ketika majlis peragaan fesyen Rizman Ruzaini baru-baru ini, berbaik dengan pasangan yang sudah berpisah tidak semestinya diakhiri dengan ‘rujuk’ atau berkahwin semula.
“Memang baru-baru ini saya ‘keluar’ dengan bekas suami saya, tetapi kami ke sekolah Engku Aleesya untuk menguruskan hal persekolahan Aleesya. Bagi saya tak salah jika kami lakukan itu demi anak.
“Rasanya ini yang perlu dipraktikkan oleh insan-insan yang sudah berpisah dan mempunyai anak,” katanya.
Jelas Erra lagi, walaupun ia dituntut, namun ia bukanlah penyelesaian utama atau perkara yang seharusnya dilakukan oleh pasangan yang telah berpisah dan bercerai.
Tambahnya demi tanggungjawab terhadap Aleesya yang kini sedang membesar, dia tiada masalah untuk bersatu dengan bekas suaminya.
Dalam pada itu Erra sempat menegaskan hubungannya dengan bekas juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Shahir adalah atas dasar kerja.
Terbaharu, Erra sedang sibuk dengan projek pementasan teater terbitannya sendiri dan telah ‘melamar’ Shahir untuk berlakon tetapi masih belum mendapat jawapan muktamad daripada juara Akademi Fantasia musim ke lapan itu.