Tidak perlulah sampai ke tahap 'gam' artis - Fahmi Fadzil
Gempak
Mac 23, 2024 11:00 MYT
Mac 23, 2024 11:00 MYT
MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan akan meneliti beberapa aspek sebelum memutuskan tindakan yang akan diambil terhadap artis bermasalah.
Bagaimanapun Fahmi berkata hukuman 'gam' ke atas artis daripada muncul dalam program televisyen (TV) dilihat kurang sesuai untuk dilaksanakan kerana senario industri kreatif sudah berubah.
"Kita belum meneliti perkara ini atau mempertimbangkan satu langkah berkaitan isu gam artis yang terbabit dalam masalah.
"Dari segi disiplin, memang akan ada kesan terutamanya kepada periuk nasi rakan artis lain sekiranya mereka melampaui batas.
"Saya ambil maklum dan pihak kementerian semestinya cakna mengenai beberapa kontroversi yang membabitkan artis tempatan baru-baru ini.
"Kita tidak boleh menafikan bahawa artis juga adalah pempengaruh. Harapan saya, kita tidak perlulah sampai ke tahap 'gam' seperti pernah lihat dahulu.
“Itu bagi saya, tahun 1980-an atau 1990-an sesuai. Tetapi, zaman sekarang, kita buka telefon bimbit pun nampak siaran (mengenai artis).
“Jadi, kita kena cari jalan yang lebih murni dan sesuai dengan zaman sekarang. Namun, perlu ambil kira beberapa insiden yang berlaku,” jelasnya.
Fahmi ditemui di Majlis Berbuka Puasa sempena Hari Seniman 2024 yang berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Pada masa sama, Fahmi juga menyeru agar golongan artis memberikan nasihat sesama mereka untuk memastikan tidak terpalit dalam kontroversi.
"Saya lihat majoriti atau hampir kesemua artis tidak ada masalah. Tapi, mungkin kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
"Mungkin kita boleh meneliti beberapa aspek. Tapi, saya harap agar artis-artis juga boleh meneliti apa yang boleh dinasihatkan kepada rakan artis lain,” ujarnya.
Terdahulu, gesaan ‘gam' artis yang dilihat mempunyai masalah moral hangat diperdebatkan selepas media melaporkan pelakon, Aliff Aziz dan Ruhainies, dicekup berkhalwat di sebuah kondominium mewah di ibu negara, baru-baru ini.
Penggiat industri kreatif mencadangkan artis yang bermasalah dan yang terpalit dengan isu moral dikenakan tindakan seperti digantung daripada muncul di TV.