Tidak merokok dan bukan artis antara ciri lelaki idaman Bella Astilah
Gempak
Februari 4, 2025 11:30 MYT
Februari 4, 2025 11:30 MYT
PELAKON dan penyanyi, Bella Astillah berkongsi tentang ciri-ciri lelaki idamannya.
Menerusi hantaran di TikTok, Bella atau nama lengkapnya Dayang Ara Nabella Astillah, 31,berkata, dia enggan bersuamikan jejaka dalam kalangan penggiat seni.
Tambahnya lagi, dia juga tidak mahu bakal suaminya merokok selain tidak terjebak dengan pengambilan minuman keras atau barang terlarang.
“Tak hisap rokok, vape, shisha, sudah tentu tak pergi kelab malam! Tak minum alkohol.
“Tidak terlibat dengan bahan terlarang dan paling penting dia bukan dalam industri seni,” ujarnya.
Bekas isteri kepada Aliff Aziz itu berkongsi perkara tersebut selepas diajukan soalan oleh adiknya, Didi Astillah yang bertanya tentang ciri-ciri lelaki idamannya.
Selain itu, Didi turut mengusik dengan bertanyakan sama ada kakaknya itu akan menerima lelaki yang terlibat dalam bidang politik.
Bella bagaimanapun hanya tertawa tanpa memberi sebarang respons sebelum berlalu pergi.
Terdahulu, hubungan rapat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella menarik perhatian ramai apabila foto dan video dimuat naik di media sosial tular.
Malah peminat juga ‘merestui’ sekiranya mereka berdua bertemu jodoh suatu hari nanti.
Untuk rekod, Bella adalah ibu tunggal dua cahaya mata, Mohamed Ayden Adrean, 8 dan Ara Adreanna, 5, selepas bercerai dengan bekas suami, penyanyi Aliff Aziz pada 13 Jun tahun lalu. - Gempak