Tidak akan sorok soal anak, Fattah Amin mohon doa semua pihak
Gempak
Mac 29, 2019 12:01 MYT
Mac 29, 2019 12:01 MYT
PELAKON dan penyanyi Fattah Amin akui bahagia hidup berkeluarga bersama isteri, aktres Fazura.
Menurut Fattah, Fazura banyak membantu dirinya dan merupakan wanita di sebalik kejayaan yang telah dikecapinya.
"Alhamdulillah doa saya dimakbulkan untuk mendapatkan kebahagiaan ini.
"Ini merupakan berkat doa daripada peminat serta keluarga saya.
"Fazura banyak membantu saya, seperti yang orang selalu cakap di sebalik kejayaan lelaki itu ada seorang wanita.
"Jika dikira tahap 1 sampai 10, saya kini tahap 10, tapi kalau 1 sampai 100, saya pada tahap 100," katanya kepada Gempak.
Fattah ditemui ketika sidang media khas di Universal Music Malaysia, Petaling Jaya baru-baru ini.
Tambah teraju utama drama Hero Seorang Cinderella berkata lumrah bagi pasangan yang telah berkahwin ditanyakan soalan mengenai anak.
"Saya tidak salahkan orang serta tidak berasa rimas apabila sering diajukan soalan mengenai cahaya mata.
"Itu adalah perkara biasa bila kita bujang orang tanya bila nak kahwin, sudah kahwin orang akan tanya tentang cahaya mata.
"Kalau ada saya akan beritahu sebab benda ini tidak boleh disorok.
"Apa yang saya boleh kata ialah doakan kami dapat rezeki zuriat," katanya lagi.
Fattah dan Fazura telah berkahwin pada 27 November 2017.
Pasangan ini telah melangsungkan pernikahan dalam majlis tertutup yang diadakan di sebuah hotel terkemuka, di Kuala Lumpur.