Tiara ajak peminat doakan kesihatan Mamat Khalid

Saharudin Musthafa
Januari 26, 2019 21:44 MYT
Tiara turut berkongsi doa dan harapannya buat Mamat dalam entri terbaharu di Instagram peribadinya beserta foto mereka berdua. - Foto Instagram/@tiarajacquelina
Pelakon dan produser ternama, Puan Sri Tiara Jacquelina antara sahabat terawal yang mengunjungi pengarah filem, Mamat Khalid di hospital petang tadi.
Beliau menziarahi Mamat yang sedang direhatkan oleh doktor sebaik mendapat khabar duka itu.
Kata Tiara, sebagai sahabat, beliau tidak mampu menyembunyikan kesedihan sebaik mendengar pengarah filem 'Hantu Kak Limah' itu sedang kritikal.
"Semoga beliau kembali sembuh dan saya ingin ajak peminat-peminat Mamat untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan beliau," kata Tiara kepada Astro AWANI.
Tiara turut berkongsi doa dan harapannya buat Mamat dalam entri terbaharu di Instagram peribadinya beserta foto mereka berdua.
BACA: Mamat Khalid dilapor kritikal, isteri pohon doakan yang terbaik
Terdahulu, Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.
Menurut isteri beliau, Hasmah Hassan, Mamat dimasukkan ke hospital itu pada Jumaat selepas mengadu sakit dada dan batuk.
#Hasmah Hassan #hospital swasta #kritikal #Mamat Khalid #Mohamad Mohamad Khalid #Petaling Jaya #sakit dada #Tiara Jacquelina
;