Tiada siapa boleh tandingi karisma Tan Sri Jins Shamsuddin - Zul Ariffin
Gempak
Mac 3, 2017 14:00 MYT
Mac 3, 2017 14:00 MYT
PELAKON Zul Ariffin akui tiada siapa yang mampu menandingi karisma dan ketokohan seniman negara, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin, 82, dalam bidang seni.
“Saya dibesarkan dengan filem-filem lakonannya dan sehingga ke hari ini saya sangat kagum dengan karisma Allahyarham ketika berlakon.
“Bagi saya memang tiada siapa pun yang boleh menandingi karisma dan aura yang ada pada dirinya.
“Alhamdulillah, pengebumian berjalan dengan lancar dan saya bersyukur dapat hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada idola saya,” katanya ketika ditemui Astro Gempak sejurus selesai majlis pengebumian.
Mengulas mengenai kenangannya bersama Allahyarham, Zul memberitahu dia pernah bertemu dengan Jins Shamsuddin sebanyak dua kali sahaja.
“Kami tidak pernah bekerjasama dan hanya bertemu sebanyak dua kali sahaja itu pun di kafeteria Skop Production.
“Waktu itu Allahyarham adalah pelakon jemputan untuk drama produksi berkenaan dan saya sempat memberikan salam dan bertegur sapa dengannya.
“Walaupun itu saja kenangan yang saya ada, namun sehingga kini momen itulah yang paling saya hargai,” ujarnya.
Tan Sri Jins Shamsuddin, 82, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Ridhuan,Ulu Kelang kira-kira jam 10.30 semalam.