'Tiada niat jadi anak derhaka' - Fazley Yaakob

Astro Awani
Mei 15, 2018 16:53 MYT
Fazley dan isterinya Azrene tetap akan berusaha pulihkan hubungan dengan ibu Azrene, Datin Seri Rosmah. - Sumber foto Facebook
Penyanyi Datuk Fazley Yaakob dan isterinya, Datin Azrene Soraya Abdul Aziz tidak akan berputus asa untuk memulihkan hubungan mereka sekeluarga dengan ibu Azrene, Datin Seri Rosmah Mansor.
Kata Fazley, sebagai menantu, apa yang paling diinginkan adalah untuk mereka sekeluarga menjalani kehidupan seperti keluarga lain.
"Saya tidak pernah putus memberi galakan kepada isteri agar terus mencuba memperbaiki hubungan mereka anak-beranak. Buat masa ini, hubungan dengan beliau masih tidak ada perubahan, tapi kami tidak akan berhenti mencuba dan berdoa.
"Sehingga kini, pendirian beliau nampaknya tidak berubah dan masih enggan membuka hatinya untuk Azrene. Tapi sebagai anak, walau apa pun yang berlaku, kami sentiasa doakan dia dipelihara Allah dan tenang menjalani hari-hari mendatang," kata Fazley ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Ditanya tentang kontroversi yang tercetus akibat pendedahan yang dibuatnya dan isteri beberapa hari lalu, Fazley berkata, bukan niatnya untuk mengaibkan sesiapa, apa lagi mahu menjadi anak derhaka.
Sebaliknya, ia sekadar satu bentuk luahan rasa yang sudah terpendam bertahun-tahun, dengan harapan ia akan menjawab persoalan ramai pihak.
"Terlalu banyak yang terkesan dengan apa yang berlaku sebelum ini. Niat kami hanya untuk menjawab pertanyaan mereka yang sering bertanya tentang keluarga kami, akhirnya mereka mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku," ujarnya.
Apapun persepsi masyarakat terhadap mereka sekeluarga, kata Fazley, dia masih menghormati Rosmah sebagai ibu mertuanya, namun dalam masa yang sama berharap kisah itu dijadikan sempadan dan tauladan bukan sahaja bagi yang terlibat, tetapi orang ramai secara umumnya.
"Malaysia harus bergerak ke hadapan dengan harapan baharu dan bukan dibayangi ketakutan. Sebagai rakyat Malaysia juga, saya tetap tidak lupa segala sumbangan yang telah dilakukan kerajaan sebelum ini demi pembangunan negara," katanya.
#anak #Azrene Soraya Abdul Aziz #Fazley Yaakob #ibu mertua #isteri #keluarga #Rosmah Mansor
;