Tiada lagi penyeri Gegar Vaganza, Papa J meninggal dunia
Gempak
Januari 14, 2017 08:53 MYT
Januari 14, 2017 08:53 MYT
SELAMA tiga musim Gegar Vaganza bersiaran, kelibat Papa J atau Jamal Manap,55, pasti kelihatan sebagai penyeri dan penonton setia program tersebut.
Bagaimanapun, semalam Astro Gempak telah dikejutkan dengan berita pemergian Papa J oleh Persatuan Seniman Malaysia.
Papa J yang juga bekas kumpulan duo Asiarasa menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9.50 malam pada Jumaat di samping keluarga di Hospital Ampang.
Menurut abang arwah, jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang sebelum Zohor pada Sabtu.
Akhbar Harian Metro melaporkan Papa J kritikal selepas ditemui tidak sedarkan diri di depan pintu bilik air di kediamannya di Taman Kosas, Ampang, pagi semalam.
Papa J yang tinggal bersendirian ditemui salah-seorang pekerjanya yang tiba di rumah berkenaan untuk keluar berniaga pada jam 10.15 pagi.
Allahyarham kemudiannya dikejarkan ke Hospital Ampang, dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan dan terpaksa menggunakan bantuan oksigen.