Tiada kaitan pihak ketiga, Aziz M Osman bercerai dengan Puteri Lily Lokman

Faida Rahim
Ogos 6, 2023 23:16 MYT
Puteri Lily memaklumkan, dia dan Aziz berpisah cara baik pada awal bulan lepas dan tiada kaitan dengan pihak ketiga. - IG Aziz M Osman
KUALA LUMPUR: Pengarah terkenal Aziz M. Osman sah bercerai dengan Puteri Lily Lokman awal bulan lalu.
Berita ini disampaikan oleh bekas isterinya itu yang juga seorang pelakon, menerusi Instagram miliknya pada Ahad.
Puteri Lily berkata, tujuannya membuat pendedahan kerana tidak mahu mengelakkan fitnah di masa hadapan.
“Demi mengelakkan fitnah di masa hadapan, saya dengan rasa rendah diri ingin menyampaikan berita, secara rasminya saya dan Aziz telah pun berpisah,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram Story.
Bagaimanapun Puteri Lily memaklumkan, dia dan Aziz berpisah cara baik pada awal bulan lepas dan tiada kaitan dengan pihak ketiga.
Katanya lagi, hubungan mereka juga masih baik demi anak-anak, Puteri Nur Azzahra, 11 dan Putera Muhamad Aryan, 5.
“Secara rasminya saya dan Aziz telahpun berpisah dengan cara baik pada Awal bulan lepas (bukan sebab orang ketiga).
“Telah ditakdirkan jodoh kami sampai di sini tapi kami masih lagi mempunyai hubungan yang baik demi anak-anak.
“Alhamdulillah, Ara seorang anak yang sangat matang. Dapat terima keputusan ni dengan tenang. Doakan anak-anak saya kuat emosi dan mental mereka. Doakan urusan kami dipermudahkan. I’m trying my best,” luahnya.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga sejak 6 Jun 2010 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua anak.
Perkahwinan pengarah filem Puteri Impian ini merupakan kali ketiga buat Aziz yang terdahulu pernah bergelar suami kepada pelakon, Nor Aliah Lee dan memiliki enam anak.
#Instagram #cerai #Aziz M Osman #Puteri Lily Lokman
;