Tiada jawapan dari PUSPAL, Teater MERdEKAnya KITA dibatalkan

Irwan Muhammad Zain
Ogos 29, 2013 18:37 MYT
KUALA LUMPUR: Pementasan teater MERdEKAnya KITA terbitan Rumah Anak Teater (RAT) yang sepatutnya bermula malam ini terpaksa dibatalkan setelah pihak Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) tidak memberi sebarang maklum balas terhadap rayuan yang dibuat terhadap larangan yang dikeluarkan pada Rabu.
Penerbit teater tersebut, Faisal Mustafa ketika dihubungi memaklumkan bahawa pihaknya telah menghubungi PUSPAL untuk mendapatkan keputusan rayuan yang dikemukan namun tiada sebarang jawapan diperolehi.
"Mereka berjanji untuk memberi jawapan terhadap rayuan yang kami buat menerusi telefon tetapi sehingga pukul empat petang panggilan telefon dari kami tidak dijawab.
"Oleh kerana tiada jawapan yang kami terima maka kami terpaksa mengikut arahan yang dikeluarkan sebelum ini yang melarang teater tersebut dipentaskan," katanya ketika dihubungi astro Awani.
Berita larangan pementasan teater tersebut diterima oleh RAT pada Rabu menerusi sepucuk surat yang memaklumkan Jawatankuasa PUSPAL tidak dapat mempertimbangkan permohonan mementaskan teater tersebut.
Alasan yang diberikan oleh JK PUSPAL kerana teater itu dikhuatiri boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia terutamanya dari aspek politik dan sosial.
Pementasan teater kembara yang yang menerima dana dari National Arts Council, Singapore itu sepatutnya berlangsung selama dua hari bermula hari ini (29 Ogos) dan berakhir pada 30 Ogos di Damansara Performing Arts Centre (DPAC) pukul 8.30 malam.
Sebelum ini teater yang sama pernah dipentaskan di Singapura dan Indonesia tanpa sebarang halangan.
MERdEKAnya KITA diarahkan oleh penerima Pingat Budaya Singapura, Atin Amat, dan dibintangi oleh pelakon teater Singapura, Anwar Hadi Ramli, Ridwan Ramli, Dalifah Shahril dan Suhaila Md Sanif.
Tiket untuk menyaksikan pementasan tersebut berharga RM30 dan RM40.
#faisal mustafa #merdekanya kita #Puspal #Rumah Anak Teater
;