Tiada jalan kembali ke Hollywood untuk Amber Heard - Pakar perhubungan awam
Astro Awani
Jun 3, 2022 08:30 MYT
Jun 3, 2022 08:30 MYT
PELAKON Amber Heard berdepan risiko kemusnahan kerjaya dan kewangan selepas kalah dalam kes saman fitnah ke atas bekas suaminya, pelakon Johnny Depp, yang menyebabkan dia kerugian AS$8.35 juta (RM36.6 juta).
Pakar perhubungan awam berpendapat 'tiada jalan kembali untuk Heard di Hollywood' sambil menambah bahawa perbicaraan dramatik di mahkamah selama enam minggu itu menimbulkan pelbagai persoalan tentang kerjayanya dan situasi kewangannya, termasuk kemungkinan hilang pendapatan sehingga AS$50 juta (RM219 juta).
Dari segi kerjayanya, pemilik studio di Hollywood dijangka sukar mempertimbangkan untuk memberinya peranan utama pada masa hadapan.
Heard juga kini mungkin bergelut untuk melangsaikan pelbagai komitmen kewangan, termasuk kepada kumpulan aktivis seperti American Civil Liberties Union (ACLU).
Ganti rugi yang terpaksa dibayar Heard juga mungkin memaksanya untuk menjual aset, termasuk 'rumah persembunyian' bernilai AS$570,000 (RM2.5 juta) di Lembah Yucca, dan Range Rover yang diperoleh selepas perceraian dengan Depp.
Peguam Sandra Spurgeon mencadangkan satu kemungkinan yang boleh diharapkan Heard ialah Depp mengetepikan bayaran ganti rugi atau merundingkan jumlah yang lebih rendah.
"Semua bergantung kepada Depp. Bagi individu yang tidak mempunyai keupayaan untuk membayar kos dan tiada keupayaan untuk menghantar bon, maka terdapat isu jika pihak yang menang berhasrat untuk meneruskan penghakiman," katanya kepada CBS MoneyWatch.
"Tidak ada jalan kembali untuk Heard di Hollywood. Jika anda membuat filem atau sedang merancang untuk membuat filem itu, adakah anda akan mengambilnya berlakon?
"Lihat saja bantahan besar-besaran terhadap Aquaman 2 (di mana petisyen untuk menyingkirkan Heard kini sudah mencapai 4 juta). Perbicaraan itu mencemarkan strategi pemasaran atau PR untuk melancarkan filem," kata pakar perhubungan awam, Mark Borkowski.
Heard berasal dari keluarga Kristian konservatif dari Texas yang mempunyai kekayaan sederhana. Pada usia 17 tahun, dia berhenti sekolah untuk memulakan kerjaya peragaan di New York, sebelum beralih ke bidang lakonan di Los Angeles.
Nilai kekayaan bersih yang dimiliki Heard tidak dapat dipastikan, namun Fox Business melaporkannya sebagai AS$8 juta (RM35 juta).
Kewangan Heard dipersoalkan selepas dia membuat beberapa tuntutan untuk menyokong gaya hidupnya, selepas perceraian dengan pelakon Pirates of the Carribean itu.
Antaranya, dia meminta 'penggunaan dan pemilikan eksklusif' Range Rover hitam yang dipandunya, dan Depp dilaporkan masih membuat pembayaran untuk kenderaan itu.
Selepas enam minggu perbicaraan, Mahkamah Circuit di Fairfax Country pada Khamis memutuskan pelakon Depp dibayar ganti rugi AS$15 juta (RM65.7 juta).