#ThrowbackGempak2019: Belasungkawa... kehilangan yang akan dirindui

Gempak
Disember 31, 2019 10:02 MYT
Pemergian insan seni yang telah menyumbang banyak jasa dalam industri hiburan akan dirindui.
SETIAP yang bernyawa pasti akan mati. Tiada yang kekal di dunia, semuanya bersifat sementara. Demikian hukum alam.
Justeru, pemergian sejumlah anak seni sepanjang 2019 tidak hanya membuatkan ahli keluarga berduka, bahkan, peminat-peminat mereka tidak terkecuali merasai kehilangan.
Gempak senaraikan antara mereka yang terlebih dahulu dijemput Allah pada tahun ini.
1. Wafa Abdul Kadir (16 Mac)
Pelakon filem Azizah The Legend, Wafa Abdul Kadir meninggal dunia di kediamannya sekitar pukul 1.10 pagi.
Allahyarham Wafa meninggal dunia pada usia 52 tahun akibat kanser.
2. Datuk Dahlan Zainuddin (28 Mei)
Penyanyi yang masyhur dengan lagu Kisah Seorang Biduan, Datuk Dahlan Zainuddin menghembuskan nafas terakhir selepas koma empat hari di Hospital Selayang.
Dahlan meninggal dunia pada usia 78 tahun akibat serangan angin ahmar.
3. Datuk A Rahman Hassan (13 Jun)
Seniman yang menempah kemasyhuran di era kegemilangan Pop Yeh Yeh, Datuk A Rahman Hassan menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Ampang pada pukul 12.40 malam.
Allahyarham meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan lemah jantung.
4. Halil Chik (30 Jun)
Penyanyi era 80-an Halil Chik meninggal dunia akibat kencing manis, darah tinggi dan serangan jantung ringan di Hospital Ampang pada pukul 7 pagi.
Sebelum itu, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Ampang selepas jatuh dari katil di kediamannya di Bukit Antarabangsa pukul 9 malam, pada 19 Jun.
5. Raja Ahmad Alaudin (29 Ogos)
Sutradara ternama, Raja Ahmad Alaudin meninggal dunia di kediamannya di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pukul 6 pagi.
Allahyarham meninggal dunia ketika tidur.
Antara drama popular arahannya ialah Curi Curi Cinta, Ariana Rose dan filem seperti Lurah Dendam, Hati Bukan Kristal, Kayangan dan banyak lagi.
6. Yazit Search (26 September)
Bekas pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pukul 11.53 pagi.
Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Wad Urologi dan Nefrologi selepas tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal.
5. Shazroul AF4 (2 Oktober)
Bintang Akademi Fantasia 4 (AF4), Shazroul Fazlie menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 6.20 petang.
Allahyarham Shazroul meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada usus selepas dimasukkan ke hospital buat kali kedua pada 21 September.
6. Ben Kanobi (10 Oktober)
Pelakon komedi veteran dan kru produksi, Ramli Harun atau lebih dikenali sebagai Ben Kanobi meninggal dunia di Hospital Ampang akibat serangan jantung.
Ketika hayatnya, Allahyarham banyak terbabit di belakang tabir selain turut berlakon dalam beberapa filem arahan Aziz M Osman.
7. Kamal Chilok (12 Oktober)
Bekas peserta Maharaja Lawak Mega 2018, Kamal yang juga anggota kumpulan Chilok menghembuskan nafas terakhir di Hospital Putrajaya pukul 4.40 petang.
Sebelum itu, Kamal dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 10 Oktober.
8. Pitt Hanif (27 Oktober)
Anak kepada aktres Fauziah Nawi, Pitt Hanif dilaporkan lemas ketika memancing selepas bot yang dinaiki di Sungai Jelai dekat Jambatan Gemunchur Mela, Lipis, Pahang karam sekitar pukul 1 tengah hari.
Pengarah filem 'Coast Guard' itu meninggalkan seorang isteri, Farah Ahmad dan tiga orang cahaya mata.
Pemergian Pitt membuatkan Fauziah terlalu berduka kerana Allahyarham merupakan anak yang terlalu rapat dengan ibunya.
9. Mas Omar (9 November)
Bekas Pegawai Perhubungan Awam dan pengurus artis Mohammad Omar atau lebih dikenali dengan nama Mas Omar meninggal dunia di rumahnya di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, akibat sesak nafas pada pukul 2.50 pagi.
Ketika hayatnya, arwah pernah bertugas di syarikat rakaman BMG, EMI dan SRC serta turut menguruskan ramai artis popular antaranya Allahyarham Datuk Nassier Wahab, Ramlah Ram, Liza Abdullah, Rohana Jalil, Juliza Adlizan, Datuk Shake, Datuk M Daud Kilau dan Datuk Jefrydin.
10. Datuk Nassier Wahab (5 Disember)
Penyanyi Datuk Nassier Wahab meninggal dunia kira-kira jam 12.45 pagi di Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Petaling Jaya.
Pemergian seniman berjiwa besar ini mengejutkan rakan-rakannya serta seluruh industri hiburan.
Anak seni kelahiran Pulau Pinang ini meninggal dunia pada usia 57 tahun selepas muntah darah sekitar pukul 12.30 pagi.
Penyanyi yang sangat terkenal dengan lagu Sekali Aku Jatuh Cinta ini meninggalkan isteri, Datin Fatimah Abd Rauf dan seorang anak, Intan Najihah.
BACA: "Ayah, tenanglah di sana" - Luahan rasa anak Nassier Wahab undang sebak
Dalam masa sama, terdapat beberapa orang anak selebriti yang telah kembali mengadap Ilahi.
1. Sharifah Nur Ainul Mardhiah (anak Ali Puteh) pada 26 November
Anak pelawak Ali Puteh, Sharifah Nur Ainul Mardhiah, yang berusia tiga bulan telah menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi jantung pukul 11.30 pagi.
Bayi perempuan yang dilahirkan pada 6 Ogos lalu itu dikesan berdepan masalah injap jantung terbalik dan jantung berlubang.
2. Muhammad Danial Firman (anak Abby Abadi) pada 7 Disember
Bayi pramatang pasangan Abby Abadi dan suami, Muhammad Faizal meninggal dunia selepas dilahirkan pada 27 September.
Bayi yang diberi nama Muhammad Danial Firman atau Baby D itu dilahirkan dengan berat 535 gram.
Danial meninggal dunia selepas 72 hari dirawat di wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital Sungai Buloh.
3. Muhammad Syakir Aliff (anak Nora Ariffin) pada 14 Disember
Selepas dua tahun kehilangan suaminya, Johan Nawawi, penyanyi terkenal, Nora Ariffin sekali lagi diuji dengan dugaan apabila anak keduanya, Muhammad Syakir Aliff pula menghembuskan nafas terakhir.
Allahyarham meninggal dunia selepas rebah di rumahnya.
BACA: "Bedah siasat arwah Alif tiada yang pelik" - Nora
Jenazah Allahyarham Aliff dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat,
Nora memberitahu hasil bedah siasat yang dilakukan oleh pakar perubatan pada jenazah anaknya tidak menemui sebarang petunjuk yang pelik.
4. Mohamad Aqil Zulkarnain (anak Azian Mazwan Sapuwan) pada 16 Disember
Selepas tiga minggu berada dalam keadaan koma, anak kepada penyanyi era-80an Azian Mazwan Sapuwan, menghembuskan nafas terakhirnya.
Mohamad Aqil Zulkarnain meninggal dunia pada pukul 11.30 pagi di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang.
Allahyarham sebelum ini dimasukkan ke hospital tersebut kerana terlibat dalam kemalangan pada 22 November.
Gempak merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga.
#A Rahman Hassan #Dahlan Zainuddin #Halil Chik #insan seni meninggal dunia #Wafa Abdul Kadir #Yazit Search
;