TFPW: Harith Iskander juara lawak dunia, bawa pulang hadiah AS$100,000
Astro Awani
Disember 10, 2016 16:19 MYT
Disember 10, 2016 16:19 MYT
Pelakon dan pengacara Harith Iskander muncul juara pertandingan The Funniest Person In The World (TFPW) di Levi, Finland.
Keputusan itu turut diumumkan menerusi twitter penganjur The Laugh Factory.
Harith mendapat undian tertinggi iaitu hampir empat juta undi berbanding empat peserta peringkat akhir lain.
Kemenangan itu mengambil kira markah daripada juri yang dicampur dengan undian penonton atas talian, yang mengikuti klip persembahan jenaka peserta melalui laman web LaughFactory.com.
Dalam persembahan akhir tersebut, Harith bersaing dengan empat pelawak dunia lain seperti Alex Calleja daripada Filipina, Mino Van Nassau (India), David Kilimnick (Israel) dan Katerina Vrana (Greece).
Mendapat giliran pertama untuk membuat persembahan, pengacara program Obviously Harith Iskander itu melawak selama lebih kurang 15 minit, bermula dengan kisah kedatangannya ke Finland, diikuti kisah dalam pesawat penerbangan, seterusnya tentang hubungan antara lelaki dan wanita.
Juara TFPW menerima hadiah utama sebanyak AS$100,000 (RM444,845), manakala mereka yang berada di tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima AS$10,000 (RM44,484) dan AS$ 5,000 (RM22, 242).
TFPW dianjurkan antara lain untuk meraikan kepelbagaian budaya di seluruh dunia selain menyatukan manusia dan mempromosi keamanan melalui acara hiburan gelak ketawa.
Antara yang pantas memberikan ucapan tahniah adalah rakan dan juga pelawak, Afdlin Shauki yang ternyata bangga dengan pencapaian Harith.