Tertangguh 3 jam, persembahan AR Rahman pukau 20,000 penonton di Malaysia
Kohilah Sekaran
Mei 15, 2016 15:29 MYT
Mei 15, 2016 15:29 MYT
:PERSEMBAHAN magis!
Ini yang dibuktikan oleh maestro muzik dari India, AR Rahman selepas beliau berjaya memukau seramai 20,000 penonton di Stadium Merdek di sini walaupun persembahannya bermula lewat 3 jam dari jadual.
Bukan itu sahaja, hujan lebat di Kuala Lumpur yang bermula sekitar jam 8 malam, tidak mematahkan semangat peminat setianya yang datang dari setiap pelusuk negara seawal jam 4 petang untuk menonton idola mereka beraksi.
Walau terpaksa berhujan, tiada peminat sanggup berganjak dari venue walau konsert yang dijadualkan pada jam 8 malam hanya bermula tiga jam kemudian.
Seolah-olah menyedari peminat sudah mula resah menunggu konsert bermula, komposer yang sinonim dengan lagu Jai Ho! bagi filem Hollywood Slumdog Millionaire itu tidak membuang masa mempamerkan suara emas beliau yang menjadi kegilaan peminat-peminat di Timur dan Barat.
Dengan gaya bersederhana, Stadium Negara mula berpesta apabila komposer itu mempersembahkan lagu-lagu gubahannya yang popular sejak 1990-an hingga lagu hit terkini.
Beliau turut mempersembah lagu terbaharunya yang didedikasikan untuk pemain bola sepak lagenda dari Brazil, berjudul "Pele: Birth of a Legend."
A.R Rahman turut menampilkan beberapa penyanyi terkenal dan kenalan rapat beliau termasuk Sid Sriram yang pernah mempopularkan lagu Thalli Pogathe, Haricharan (Unakkena Iruppen) dan Swetha Mohan (innum Konjam).
Walaupun berjaya dengan persembahan mantap beliau, konsert itu turut mengundang kekecewaan dari peminat yang hadir malam tadi.
Kebanyakan peminat melahirkan rasa tidak puas hati di halaman Facebook AR Rahman Live in Concert 2016.
Tinjauan Astro AWANI menunjukkan peminat menyalahkan penganjur Malaysia kerana mengadakan konsert tersebut di ruang terbuka, apatah lagi cuaca di Kuala Lumpur sejak beberapa hari ini amat membimbangkan.
Menurut mereka, apa yang lebih mengecewakan ialah pihak penganjur tidak tampil menjelaskan situasi dan membiarkan penonton menunggu di bawah hujan.
“Kepada ARR dan pasukan… tabik kepada seni dan profesionalisme yang memuaskan peminat anda! Usaha anda amat dihargai oleh kami… Terima kasih. Tetapi malu besar kepada penganjur terhadap pengurusan mereka. Anda gagal untuk memuaskan penonton dan artis. An epic failure!!! Pengajaran daripada Blackhorse,” tulis Leticia Ann Arokiasamy.
Kredit Gambar: Facebook AR Rahman Live Concert
Dianjurkan oleh Black Horse Movie (M) Sdn Bhd dan disokong oleh Malaysia Major Events, konsert tersebut ialah sebahagian dari Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.
A.R Rahman merupakan seorang ikon muzik yang bukan sahaja terkenal di India tetapi di seluruh dunia.
A.R.Rahman, 49, pernah merangkul beberapa anugerah antarabangsa termasuk Oscar, Grammy, Golden Globe dan BAFTA.