Tersingkir, GGV beri Ana Raffali pengalaman manis

Gempak
Mei 1, 2017 08:56 MYT
Mempunyai banyak lagu dalam simpanan, Ana akan mencari satu karya yang sesuai untuk dijadikan single terbarunya.
PENYANYI Ana Raffali mengutip pengalaman manis sepanjang penglibatannya dalam program Gema Gegar Vaganza (GGV).
Menjadi bintang ketiga tersingkir di minggu keempat, Ana menyampaikan lagu Balqis dendangan asal Datuk Siti Nurhaliza.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana sepanjang saya berada dalam GGV, saya banyak belajar perkara baru.
"Saya banyak meraih pengalaman dan memori manis bertanding bersama bintang-bintang yang lain. Walaupun tersingkir, saya percaya kepada ketentuan rezeki.
"Rezeki saya sampai di minggu keempat sahaja. Saya tetap mendoakan penyanyi-penyanyi lain berjaya di pentas GGV," kata Ana kepada Astro Gempak.
Mempunyai banyak lagu dalam simpanan, Ana akan mencari satu karya yang sesuai untuk dijadikan single terbarunya.
"Sebagai seorang singer-songwriter, saya mempunyai banyak lagu dalam simpanan. Namun begitu, agak sukar untuk saya mencari yang sesuai.
"Saya akan hadir dengan sebuah lagu baru sebagai buah tangan kepada peminat yang menyokong perjalanan seni saya," katanya lagi.
Gema Gegar Vaganza bersiaran setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 April di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).
Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.
Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.
Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu menonton video-video persembahan peserta dan ingin mendapatkan lebih info mengenai program ini dan, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.
#Gema Gegar Vaganza #GGV #Siti Nurhaliza
;