'Terpaksa jadi kekwat' - Sarimah Ibrahim sanggup belanja RM50,000 untuk jiwai watak
Gempak
Mei 22, 2024 16:00 MYT
Mei 22, 2024 16:00 MYT
PELAKON dan pengacara Che Puan Sarimah Ibrahim sanggup mengeluarkan wang sendiri kira-kira RM50,000 untuk penyediaan 'wardrobe', peralatan solekan dan sebagainya yang sesuai untuk watak lakonannya.
Mahu Pastikan Karakter Direalisasikan
Sarimah berkata, beliau melakukan inisiatif itu bagi memastikan karakter yang dilakonkan dapat direalisasi sebaik mungkin mengikut kehendak watak yang digambarkan.
“Kebanyakan baju saya sediakan sendiri. Bahagian 'wardrobe' ada sediakan untuk babak tertentu, tetapi untuk menghayati watak itu, saya dah memikirkan sejenis perempuan yang dia akan 'kekwat' tentang baju dia.
"Jadi, saya pun terpaksa jadi 'kekwat' tentang baju. Untuk itu, kalau kita nak buat betul-betul, kita buat betul-betul.
"Jadi, boleh dianggarkan kira-kira RM50,000 juga saya berhabis demi watak, seorang wanita sangat berdikari yang kaya,” katanya kepada Gempak.
Beberapa Faktor Lain
Bukan itu sahaja, Sarimah turut memberitahu banyak faktor lain untuk memastikan karekter lakonannya dapat dijiwai dan disampaikan kepada penonton dengan baik.
“Banyak faktor terlibat dalam menjayakan satu watak sebenarnya. Dari segi penampilan, gym, baju, rambut, penghayatan, suara, cukup tidur, disiplin dengan masa, pastikan kulit cerah, kuku cantik dan semuanya cantik.
"Kalau kita senarai benda itu, nampaklah. Tapi, kalau tengok saja, orang boleh anggap benda itu dah senang. Namun, itulah prosesnya untuk merealisasikan setiap watak.
“Bagi drama Astro yang akan datang pun, saya dah mulakan persediaan awal," katanya. -Gempak