"Ternyata ramalanku benar" - Pelakon Fazlina Ahmad Daud positif COVID-19

Fareez Azman
Mac 6, 2022 15:00 MYT
Jelas Fazlina, beliau mengalami demam pada Sabtu namun didapati negatif selepas menjalankan ujian RTK-Antigen Saliva kendiri. - Foto Instagram Fazlina Ahmad Daud
KUALA LUMPUR: Pelakon tanah air, Fazlina Ahmad Daud disahkan positif COVID-19 pada Ahad. Perkara itu dikongsinya dalam laman Instagram miliknya pagi tadi.
Jelas Fazlina, dia mengalami demam pada Sabtu namun didapati negatif selepas menjalankan ujian RTK-Antigen Saliva kendiri.
Bagaimanapun pada pagi Ahad, dia sekali lagi membuat ujian kendiri dan kali ini didapati positif virus itu.
"Tumpas dengan COVID. Pagi tadi buat nasal and saliva test. Pada yang ada jumpa Faz sejak Jumaat minta tolong test ya. Semalam, Sabtu 5 Mac demam sikit, test negative dan pagi tadi tak puas hati, test lagi dua kali ternyata ramalanku benar.
"Maaf pada rakan-rakan kerja atau sesiapa saja yang ada close contact dengan Faz sejak Jumaat 5 Mac. Doakan Faz dan keluarga kuat semangat dengan ujian Ini. Aamiin. Take Care, Stay Safe dan jaga SOP," jelasnya dalam posting di Instagram.
Dalam pada itu, kakaknya Fauziah Ahmad Daud yang lebih dikenali sebagai 'Kak Ogy' turut memohon semua pihak agar mendoakan adiknya Fazlina kembali pulih.
"Tolong semua mendoakan adik saya Fazlina Ahmad Daud, dia positive, dah booster bagai kena juga. Ujian buat adik saya.
"Tolong ya mendoakan adik saya cepat sembuh. Terima kasih ya dan semoga kita semua sentiasa di dalam pemeliharaan Allah SWT. Aamiin Ya Rabbal Alamiin," jelasnya dalam Instagram miliknya.
Kami dari Astro AWANI turut mendoakan agar Fazlina cepat sembuh dan terus tabah dengan dugaan ini.
#Fazlina Ahmad Daud #pelakon #positif #COVID-19 #KKM
;