Terlerai sudah: 'Kami bukan lagi suami isteri' - Hisyam Hamid

Sinar Harian
Mei 23, 2024 18:32 MYT
Hasil perkongsian, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Nurish Syameliah,17, dan Haydeen, 15. - Sinar Harian
AKTOR Hisyam Hamid akhirnya mengakui perkahwinan yang dibina hampir 20 tahun lalu, sudah pun terlerai.
Bagaimanapun bintang berusia 39 tahun itu enggan mendedahkan punca dan tarikh sebenar perpisahan berlaku, namun menegaskan masih mengekalkan hubungan baik dengan bekas isteri, Rosmawati Hanafi.
“Saya tidak mahu oleh kerana satu detik hitam yang berlaku antara kami memusnahkan hubungan ini.
“Buat masa ini kami rasa jalan terbaik adalah untuk kami tidak lagi menjadi suami isteri.
“Kami hanya mahu fokus mara ke depan. Masing-masing sudah pun membawa haluan sendiri. Apa paling penting, kami sama-sama ada tanggungjawab terhadap anak-anak dan mereka juga berada di bawah penjagaan saya,” katanya.
Hisyam berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media Drama Cinta Untuk Sekali Lagi dan Bunga Salju di Zebra Square, Kuala Lumpur pada Khamis.
Tambah pelakon yang mula dikenali menerusi drama Ariana Rose itu, Rosmawati atau lebih dikenali sebagai Mel masih kekal sebagai pengurusnya dan mereka juga tetap berkomunikasi baik setiap hari.
“Tak ada yang salah atau negatif untuk kami teruskan demi anak-anak. Apa yang berlaku sudah berlaku. Buat masa ini kami selesa berkawan baik, lebih dari itu saya tak pasti, masa yang akan menentukan.
“Pada akhirnya dia adalah ibu kepada anak-anak saya. Hampir 20 tahun kami bersama, tidak semuanya buruk dan negatif. Banyak benda positif yang kami lalui.
Kata Hisyam, dia mengambil pendekatan untuk menjaga nilai eksklusiviti dengan tidak terlalu berkongsi kisah peribadi di media sosial.
“Dia melahirkan dua anak saya, itu adalah satu pengorbanan besar. Momen itu saya hargai dan hormat dia,” ujarnya.
Ditanya mengapa dilihat berdolak-dalih apabila ditanya mengenai status rumah tangganya sebelum ini, aktor berasal dari Singapura itu tidak mahu berita tersebut menjejaskan emosi anak-anaknya.
“Sejak dulu, apa sahaja yang saya buat, saya akan pastikan tidak ada kontroversi yang menjejaskan anak-anak saya, saya mahu beri contoh terbaik pada mereka.
“Begitu jugalah bila hal ini ditanya, saya tidak mahu pada akhirnya berita itu memberi kesan pada mereka atau mereka tahu dari sumber lain,” katanya.
Pada Oktober tahun lalu, Hisyam pernah menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa dia dan isteri sudah bercerai.
Kata Hisyam, dia mengambil pendekatan untuk menjaga nilai eksklusiviti dengan tidak terlalu berkongsi kisah peribadi di media sosial.
Untuk rekod, Hisyam mendirikan rumah tangga dengan Rosmawati pada 2006.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Nurish Syameliah, 17, dan Haydeen, 15 tahun.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#Hisyam Hamid #pelakon #bercerai #Rosmawati Hanafi
;