'Terlajak Puteh, Nampak?' papar harta jutawan, beri netizen inspirasi
Nizam Bakeri
Januari 12, 2016 15:17 MYT
Januari 12, 2016 15:17 MYT
RANCANGAN Terlajak Puteh, Nampak? yang disiarkan Disember lalu di Astro H!Live sempena ketibaan tahun baru 2016 terus menjadi bualan sehingga kini.
Menurut Daily Seni, tayangan rancangan tersebut di laman Facebook dan YouTube telah mencecah lebih tiga juta tontonan.
Terlajak Puteh, Nampak? menampilkan hos tersohor Datuk Aznil Haji Nawawi yang membawa penonton ke kediaman agam tiga jutawan kosmetik - Datuk Aliff Syukri (pemilik D’Herbs), Rita Datuk Susilawati (pengarah urusan Nouvelle Visages), dan Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida (pengasas jenama Qu Puteh & Pamoga) yang baru-baru ini mengesahkan tajaannya terhadap pasukan bola sepak Kelantan.
Walaupun wujud sesetengah netizen yang berpandangan sinis dengan rancangan tersebut yang dianggap hanya mahu menonjolkan kekayaan trio jutawan itu semata-mata, ramai juga yang berpendapat rancangan tersebut memberi inspirasi.
Mereka kagum dengan kejayaan tiga jutawan tersebut dan kemewahan yang dipaparkan menjadi inspirasi untuk mereka berusaha lebih gigih dalam kehidupan.
Netizen turut menambah bahawa perhatian perlu diberi kepada resepi kejayaan para jutawan ini yang berusaha dari bawah sebelum memiliki segala-galanya: rumah agam, kereta berkuasa tinggi, kasut eksklusif rekaan antarabangsa, malah tiara bertatah berlian.
Rancangan hasil buah fikir penerbit Syazwan Zakariah itu dinamakan Terlajak Puteh, Nampak? sempena gabungan slogan yang sering digunakan oleh trio jutawan berkenaan: 'Terlajak Laris' (Datuk Aliff Syukri), 'Qu Puteh Qu Puteh Barulah Puteh' (Datuk Seri Vida), dan 'Nampak Lawa' (Rita Datuk Sosilawati).