Terkilan dapat jawapan kurang manis, Catriona Ross 'sekolahkan' peserta ATNM2
Faida Rahim
Disember 19, 2022 15:15 MYT
Disember 19, 2022 15:15 MYT
KUALA LUMPUR: Gara-gara insiden seorang peserta memberi jawapan ‘kasar’ dalam program All Together Now Malaysia 2 (ATNM2), pelakon Catriona Ross mengaku terkejut berdepan dengan situasi itu.
Pelakon berusia 42 tahun itu ketika dihubungi Astro AWANI memberitahu, dia terkilan dengan jawapan daripada peserta dikenali sebagai Ika yang disifatkan kurang manis ditonton ramai di kaca televisyen.
“Soalan saya mudah sahaja. Saya tanya dia ‘adakah awak kurang selesa atau tidak suka dengan lagu yang dibawakan tadi?’ Seandainya dia jawab dengan intonasi sesuai, sudah tentu tiada masalah.
“Bila nak masuk dalam industri hiburan, kalau kita bijak susun ayat dan berkomunikasi dengan baik, saya pasti sesiapa pun boleh pergi lebih jauh lagi.
“Perlu ada common sense untuk hormat orang lain tak kira orang tu dewasa atau rakan sebaya. Bila kita dibesarkan oleh ibu bapa secara automatik kita pasti diajar mengenai adab dan hormat,” katanya.
Dalam pada itu, Catriona atau mesra dengan panggilan Kak Kek memaklumkan dia ada bertemu dengan Ika di belakang pentas selepas program tamat.
“Saya ada nasihat dia di belakang pentas, lebih kurang lima minit. Saya nasihatkan dia anda baru 16 tahun dan masih belum menjadi artis. Sekiranya satu hari nanti, anda berjaya masuk dalam industri hiburan, ke mana hala tuju anda dengan attitude begini?
“Saya beri teguran dengan baik agar dia faham bahawa adab itu amat penting tidak kira siapa pun diri kita dan jangan lupa empat benda iaitu sikap, hormat, disiplin dan merendah diri,” katanya.