Terkesan COVID-19, komuniti busker terima sumbangan baucar RM10,000 dari Tesco Malaysia
Astro Awani
April 8, 2020 14:56 MYT
April 8, 2020 14:56 MYT
Komuniti kumpulan muzik jalanan atau busker adalah antara mereka yang terkesan susulan penularan COVID-19 di negara ini.
Menyedari kesusahan itu terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Tesco Malaysia tampil menyalurkan sumbangan 100 baucar yang setiap satu bernilai RM100 kepada setiap komuniti busker.
Keseluruhan jumlah sumbangan bernilai RM10,000.
Kesemua baucar berkenaan akan diagihkan kepada 100 penerima yang dikenal pasti dalam kalangan anggota Kelab Penghibur Jalanan Malaysia (MYBC) dan boleh dituntut di semua Tesco mengikut negeri.
Dalam pada itu, Presiden MYBC, Wady Hamdan, melahirkan penghargaan kepada Tesco Malaysia yang prihatin terhadap kebajikan busker.
"Sumbangan ini sedikit sebanyak membantu ahli persatuan yang turut terjejas pendapatan untuk membeli barang keperluan makanan.
"Pihak MYBC akan terus menjalin kerjasama strategik dengan pihak Tesco Malaysia dalam memberi hiburan kepada para pengunjung Tesco di seluruh Malaysia," tambahnya.