Terkejut tersingkir di konsert kedua, Ziqa #AF2015 hampir pengsan
Gempak
Ogos 24, 2015 14:41 MYT
Ogos 24, 2015 14:41 MYT
Pelajar #AF2015 Ziqa hampir pengsan apabila namanya diumumkan sebagai peserta kedua tersingkir di konsert kedua #AF2015 malam tadi.
Gadis yang berusia 19 tahun itu tidak dapat menahan rasa kecewa dan akhirnya mengalirkan air mata sebaik sahaja dipeluk oleh rakan-rakan seperjuangan.
Ziqa yang pada mulanya kelihatan seperti tidak ada masalah tiba-tiba ‘lembik’ dan hampir pitam di hadapan pelajar-pelajar #AF2015 yang lain.
Bagaimanapun, setelah ditenangkan oleh Bila, Aziah, Rachel dan Lisa, Ziqa kembali mendapat semangat sebelum turun ke pentas.
Dengan peratusan undian terendah sebanyak 5.11%, Ziqa terpaksa akur dengan keputusan yang diterima.
Bertemakan ‘Hits Era 90-an”, Ziqa atau nama sebenarnya Nurhusnina Haziqah Haharuddin telah menyampaikan lagu berjudul ‘G.I.G’ nyanyian asal kumpulan Elite.
Dua pelajar selain Ziqa yang turut menerima undian terendah ialah Syamel dan Sharul.
Dalam pada itu, konsert kedua turut diserikan dengan kehadiran dua juri tetap iaitu Dato’ Ramli MS dan pelakon cantik Rozita Che Wan (Che Ta) manakala juri jemputan pula adalah penyanyi dangdut terkenal, Amelina.
Penyingkiran Ziqa diumumkan oleh hos #AF2015, Zizan Razak dan Faizal Ismail.
Konsert Kedua #AF2015 bersiaran secara langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Dengan penyingkiran pelajar berusia 19 tahun itu, kini tinggal 10 bintang #AF2015 yang akan meneruskan perjuangan mereka sehingga bergelar juara.
Jangan lupa saksikan Diari #AF2015 pula akan bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 9.00 malam.
#AF2015 akan bersiaran secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).