'Terima kasih kepada yang menderma' - Tiz Zaqyah lawat anak mangsa nahas Segamat

Gempak
September 6, 2023 13:40 MYT
Tiz bersama rakannya ke Muar untuk menyampaikan sumbangan derma orang ramai kepada remaja berusia 19 tahun itu. -Gempak
PELAKON Tiz Zaqyah bersyukur kerana berpeluang melawat adik Abdurrahman yang baru sahaja kehilangan ibu bapa bersama empat lagi adiknya yang terlibat dalam insiden kemalangan di Jalan Segamat-Kuantan dekat Taman Yayasan, Johor, beberapa hari lalu.
Tiz bersama rakannya ke Muar, Johor dan dalam masa yang sama menyampaikan sumbangan hasil derma orang ramai kepada remaja berusia 19 tahun itu kelmarin.
"Alhamdulillah dapat juga rezeki melawat adik Rahman petang tadi di rumah mak ciknya di Muar.
"Alhamdulillah, ramai juga yang datang melawat. Terima kasih juga kepada yang menderma.
"Semoga Allah SWT permudahkan semuanya untuk adik Rahman. Salam takziah. Al-Fatihah," tulisnya.
Pelakon drama LIAR itu berkongsi perkara berkenaan di akaun Instagram miliknya.
Menerusi perkongsian itu dia memuat naik fotonya bersama rakan bergambar dengan Abdurrahman.
Hantaran berkenaan mendapat perhatian pengikutnya yang rata-rata turut bersimpati dengan remaja lelaki itu.
"Setiap kali ternampak mengenai post adik ini pasti sedih," komen seorang pengikut laman sosial.
"Sembab mata dia, kesiannya la. Harap mental dia kuat," kata seorang netizen.
"Terima kasih Tiz datang melawat adik Rahman," ucap seorang warga maya.
Terdahulu, jenazah keenam-enam beranak yang maut dalam insiden kemalangan tersebut selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ubudiah, Parit Jawa, di sini.
Mangsa yang terkorban adalah pasangan suami isteri Amir Ruddin dan Norahimah serta empat anaknya iaitu Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah,13; Rufaidatul Asyariyah, 10; dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Seorang lagi anak pasangan itu yang menaiki kenderaan sama, Abdullah, 15, masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat. -Gempak
#Tiz Zaqyah #nahas enam beranak #Abdurrahman Amir Ruddin #Jalan Segamat-Kuantan
;