'Terima kasih jadi kawan baik Sandra' - Qody Rany sebak kenang detik bersama arwah

Asyraf Roslan
September 13, 2020 06:41 MYT
Qody Rany sebak mengenang saat bersama Sandra. -Astro AWANI
BIARPUN baru beberapa minggu bersama dalam program realiti Big Stage, namun keakraban antara kesemua peserta itu cukup terserlah.
Kehilangan seorang teman rapat bukan satu perkara yang mudah untuk kita terima, lebih-lebih lagi apabila dia pergi buat selamanya.
Itulah yang dirasai peserta Big Stage, Qody Rany yang kehilangan rakan seperjuangannya Sandra Dianne pada Jumaat akibat kemalangan jalan raya.
Dia sebak mengingati kembali saat melawat arwah buat kali terakhir di Hospital Putrajaya.
Menurut Qody, dia tidak menyangka Sandra selalu bercerita tentangnya kepada keluarga dan sahabat.
"Masa masuk untuk melihat dia buat kali terakhir, keluarga dan kawan dia ucapkan terima kasih kerana jadi kawan yang baik kepada Sandra," kongsi Qody.
Pada masa sama, Qody turut menceritakan bahawa dia juga banyak menghabiskan masa bersama arwah sepanjang berada di program itu.
"Setiap kali kelas, saya suka duduk dekat dengan dia.
"Kami selalu bergurau, berbual bersama dan seperti semua rakan-rakan yang lain cakap, dia memang seorang kawan yang baik," katanya.
Qody juga mendedangkan sebuah lagu iaitu Kemarin pada konsert tribue #SandraDalamKenangan.
Sandra menghembuskan nafas terakhir pada jam 1 pagi, Jumaat di Hospital Putrajaya dan dikebumikan di kampung halaman di Kampung Kualalan, Sabah.
#BBNU #Big Stage #Kampung Kualalan #kemalangan #Qody Rany #Sandra Dalam Kenangan #Sandra Dianne #teman rapat
;