'Terima kasih isteri pertama kerana sabar' - Aliff Teega sahkan kahwin dua

Gempak
November 27, 2023 09:45 MYT
Alif Teega dan Aisyah Hijanah mendirikan rumah tangga pada 2017 dan mempunyai dua cahaya mata. Alif mendedahkan dia sudah berkahwin kali kedua pada 18 Nov lalu. - Foto Gempak
PEMPENGARUH media sosial Alif Teega mendedahkan dia sudah berkahwin kali kedua pada 18 November lalu.
Alif berkata, tujuan dia berkongsi status terkini dirinya itu kerana enggan menimbulkan sebarang fitnah dan menjawab segala khabar angin yang bertebaran.
“Mungkin selama ini ada yang terdengar atau memang tahu berita mengenai saya sudah bernikah. Baik, Alhamdulillah berita itu adalah benar. Saya sudah pun bernikah.
“Saya harap tidak dipanjangkan lagi isu ini.
"Terima kasih kepada isteri (pertama) saya Aisyah Hijanah kerana bersabar dengan apa yang berlaku serta tabah dan kuat berada di sisi menemani saya walaupun saya tahu perit bagi mana-mana wanita untuk menerima hakikat ini,” katanya dalam satu hantaran terbaharu di Instagram miliknya.
Menurut Alif, dia mengaku berita perkahwinan keduanya itu bukan satu hal yang mudah buat isteri pertamanya namun memohon orang ramai mendoakan agar hubungan mereka berkekalan.
“Selama Aisyah menjadi isteri saya, tiada sebarang kekurangan. Doa saya agar Allah hanya kekalkan kami sehingga ke syurga. Tapi percaturan Allah buat saya dan Aisyah adalah berbeza.
“Terima kasih atas doa daripada kalian semua buat kami. Aisyah adalah wanita pilihan Allah dan Subhanallah kuatnya dia luar biasa dan saya juga takjub dengan kekuatannya dalam hadapi setiap ujian yang datang.
“Saya tak rasa wanita lain sanggup berada di tempat dia. Saya mohon agar tiada mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi dan hinaan mengenai hal ini dan biarlah segala yang berlaku diakhiri di sini sahaja,” katanya.
Biarpun sudah mengesahkan mengenai perkahwinan keduanya, namun butiran mengenai identiti isteri keduanya itu masih menimbulkan tanda tanya.
Sementara itu, Aisyah turut mendoakan kebahagiaan Alif bersama madunya dan berharap orang ramai tidak bercakap buruk mengenai perkahwinan mereka.
"Doakan yang baik-baik buat kami berdua. Saya mohon agar tidak berkata yang buruk kepada Alif mahupun isteri barunya," tulisnya.
Untuk rekod Alif dan Aisyah mendirikan rumah tangga pada 2017 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata.
Oktober lalu, Aisyah mendedahkan perkahwinan mereka cuba dihimpit pihak ketiga yang juga pekerja sendiri.
Aisyah juga memaklumkan dia turut membawa Alif berubat selepas dia dipercayai terkena penyakit ain selain gangguan sihir pemisah.
#Alif Teega #Aisyah Hijanah #poligami #perkahwinan kedua
;