"Terima kasih emak... sayang mak sangat-sangat" - al Fatihah... ibu Ubai meninggal dunia
Gempak
Julai 30, 2023 22:05 MYT
Julai 30, 2023 22:05 MYT
Ibu kepada pempengaruh, Ubai, Rohani Jamal meninggal dunia pada Ahad.
Berita itu dimaklumkan sendiri oleh Ubai dalam satu hantaran terbaharu di akaun Instagram miliknya.
Maklum Ubai, ibu kesayangannya telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 6:45 petang tadi.
“Salam semua, mak saya baru sahaja menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.45 petang tadi,” tulisnya.
Dalam hantaran yang sama, Ubai atau nama lengkapnya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zukefli, 25, juga turut membuat coretan luahan isi hatinya atas pemergian ibu tercinta.
“Hilangnya doa seorang ibu. Berat dugaan ni untuk Ubai, tapi Ubai reda. Berehatlah mak. Mak seorang ibu yang baik, semua orang senang dengan mak.
“Ubai ingat semua pesan mak, Ubai tak pernah lupa. Terima kasih mak, sebab jadi tempat untuk Ubai mengadu, untuk Ubai minta nasihat.
“Ubai janji akan jaga adik beradik semua. Terima Kasih Emak, Ubai sayang Mak sangat-sangat,” coretnya.
Terdahulu, ibu Ubai mula dimasukkan ke PPUM selepas mengalami pendarahan pada bahagian rahim sejak 8 Julai lalu.
Sebelum ini, ibunya sudah pun menjalani pembedahan membuang ovari selepas disahkan menghidap kanser di organ berkenaan pada Januari lalu.
Ubai dan Shila mengikat tali pertunangan pada 27 Mei lalu dan bakal mendirikan rumah tangga pada Ogos ini. - Gempak