'Terima kasih Dr McDreamy', saya kini terima AS$20 juta untuk musim baru Grey's Anatomy - Ellen Pompeo

Agensi
Januari 18, 2018 17:13 MYT
Peningkatan gaji secara tiba-tiba berlaku selepas Pompeo (kanan) mengadakan perbincangan dengan penerbit Grey's Anatomy, Shonda Rhimes - Foto: AP
Pelakon drama bersiri televisyen popular Grey's Anatomy, Ellen Pompeo berkata dia akan menerima lebih AS$20 juta (RM81 juta) melalui kontrak baharunya yang meliputi tiga musim termasuk musim ini.
Dalam temubualnya bersama The Hollywood Reporter, Pompeo berkata dia akan digaji AS$575,000 untuk setiap episod, bonus "7-angka" untuk menandatangani kontrak pembaharuan dan tambahan kira-kira AS$6-7 juta.
Peningkatan gaji secara tiba-tiba berlaku selepas Pompeo mengadakan perbincangan dengan penerbit Grey's Anatomy, Shonda Rhimes.
Katanya kepada Rhimes, jika dia ingin meneruskan siri Grey's Anatomy, Pompeo harus diberi insentif dan kuasa supaya dia akan rasa seperti sebahagian daripada siri televisyen itu.
Respon Rhimes, "Sudah pastinya saya ingin meneruskan siri ini. Oleh itu, kami akan mencari cara untuk menggembirakan anda. Apa yang anda kehendaki?"
Pompeo menerangkan bahawa komitmen dalam Grey's Anatomy memberikan tekanan kepadanya kerana dia tidak dapat berlakon dalam projek yang lain disebabkan kontrak yang tidak mengizinkan.
Menurut Pompeo, terma ini harus memberikan bayaran yang tinggi.
Pompeo turut meminta kontrak yang mengizinkan beliau untuk menjadi penerbit kerana pada usia 48 tahun, karier lakonannya menjadi tidak realistik.
Tambah Pompeo, keputusan Patrick Dempsey untuk keluar dari siri televisyen itu bertukar menjadi manfaat baginya dalam menentukan tawaran kontrak baru.
Watak McDreamy lakonan Dempsey ditamatkan pada 2015 selepas wujud ketegangan antara Dempsey dan pelakon lain serta Rhimes.
"Mereka sentiasa membandingkan Dempsey dan saya - 'Kami tidak memerlukan kamu; Kami ada Patrick' - mereka sentiasa menggunakan dialog ini ke atas saya.
"Saya tidak pasti jika mereka menggunakan taktik yang sama ke atas Dempsey kerana kami tidak pernah membincangkan tawaran dan kontrak kami.
"Saya pernah meminta bayaran AS$5,000 lebih tinggi daripada Dempsey kerana ini adalah Grey's Anatomy dan watak saya adalah Meredith Grey, tetapi mereka menolak permintaan saya," jelas Pompeo.
Katanya dia tidak meninggalkan siri televisyen itu kerana dia tidak mahu seorang lelaki menjadi punca dia keluar dari Grey's Anatomy.
#Ellen Pompeo #Grey's Anatomy #Patrick Dempsey #Shonda Rhimes
;