Terima ijazah kehormat, Taylor Swift kini bergelar Dr

Agensi
Mei 19, 2022 13:53 MYT
Swift sempat berjenaka apabila memberitahu khalayak yang dia berada di situ kerana mempunyai lagu berjudul '22'. - Reuters
NEW YORK: Penyanyi popular antarabangsa Taylor Swift sememangnya mempunyai pelbagai gelaran yang diberikan peminat dan media, namun hari ini dia menambah satu lagi gelaran - doktor (Dr).
Swift, 32, menerima ijazah kehormat kedoktoran seni dari Universiti New York (NYU) pada Rabu, disaksikan ribuan penonton termasuk graduan 'class of 22' di Stadium Yankee yang penuh sesak.
Tampil elegan dengan jubah doktor kehormat yang baru dianugerahkan, Swift sempat berjenaka apabila memberitahu khalayak yang dia berada di situ kerana mempunyai lagu berjudul '22'.
"Saya tidak pernah mendapat pengalaman belajar di kolej seperti biasa. Saya pergi ke sekolah tinggi awam sehingga gred 10 dan kemudian menamatkan pendidikan saya dengan menghabiskan tugasan di terminal lapangan terbang.
"Saya sama sekali tidak rasa layak untuk memberitahu anda apa yang perlu dilakukan. Anda semua telah berkorban dan belajar dan mengimpikan apa yang anda peroleh hari ini.
"Saya tidak akan memberitahu anda apa yang perlu dilakukan kerana tiada siapa yang menyukainya, tetapi saya akan memberikan anda tip, apa yang saya lakukan semasa saya mula menjadikan impian saya sebagai kerjaya.
"Jangan pernah malu mencuba," kata Swift dalam ucapannya.
Penyanyi, komposer, penerbit dan pengarah itu memulakan kerjaya muziknya pada usia 15 tahun.
Sehingga kini, sebanyak 100 juta albumnya telah terjual dan memenangi pelbagai anugerah, selain mencatat rekod sebagai artis wanita pertama memenangi kategori Album Terbaik sebanyak tiga kali dalam Anugerah Grammy.
#Taylor Swift #New York #Universiti New York #NYU #ijazah kehormat kedoktoran
;