Terima cek tendang RM30,000 di majlis VVIP, Ameng Spring dakwa sering ditipu ‘orang tengah’
Media Hiburan
Februari 3, 2024 16:20 MYT
Februari 3, 2024 16:20 MYT
PENYANYI Ameng Spring terkilan dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir wakil penganjur atau ‘orang tengah’ yang masih mahu menipu artis dalam soal pembayaran selepas membuat persembahan.
Menurut Ameng atau nama sebenar Wan Aminuddin Wan Ismail, dia pernah menerima cek tendang berjumlah RM30,000 selepas membuat persembahan di sebuah majlis yang dianjurkan oleh orang kenamaan atau VVIP.
“Kejadian berlaku sekitar dua tahun lalu dan isu tak dapat bayaran ini banyak kali terjadi, bahkan hingga hari ini masih lagi berlaku.
“Dapat cek tendang, bayar dengan duit palsu. Saya pernah menyanyi di sebuah acara berprestij dan dapat bayaran berjumlah RM30,000.
“Bila saya pergi bank, rupa-rupanya cek tendang. Tapi, saya tak salahkan tuan rumah, sebaliknya itu salah orang yang berurusan dengan pengurusan saya,” katanya kepada MH.
Ditanya adakah serik dengan kejadian menimpanya, Ameng berkata, dia akan lebih berhati-hati pada masa akan datang.
“Biasanya saya akan ambil deposit terlebih dahulu. Tapi untuk acara itu, saya tak berbuat demikian atas dasar percaya.
“Mungkin selepas ini saya akan pastikan saya ambil duit pendahuluan sebelum buat persembahan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Rock Legend Berzaman di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam pada itu, Ameng turut mengakui masalah ketiadaan hitam putih menyebabkannya sukar untuk membuat sebarang tuntutan.
“Masalahnya sebab kami (penyanyi) yang buat persembahan tiada perjanjian bertulis dan sebagainya.
“Jadi, bila nak buat tuntutan di mahkamah, ia agak sukar sebab semua benda kita perlu buat sendiri.
“Nak turun naik mahkamah, nak bayar peguam dan sebagainya. Jadi ia agak tidak berbaloi untuk dilakukan,” jelasnya.
Selain Ameng, Konsert Rock Legend Berzaman itu bakal membariskan lapan vokalis rock era 1990-an seperti Muss, Zamani Slam, Amir Ukays, Ezad Lazim, Shidi Data, Azan Scan, Poey Sting, serta Hazama.
Konsert anjuran RAR SKY Entertainment itu akan menggegarkan Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 3 Mac depan. -Media Hiburan