Terendak Melanau diangkat di pentas Borneo Fashion Week 2019
Syafik Shukri Jalil
Oktober 5, 2019 17:07 MYT
Oktober 5, 2019 17:07 MYT
Borneo Fashion Week 2019 menjadi medan pengkarya dan pereka fesyen menonjolkan kreativiti dalam menghasilkan busana.
Pelbagai rekaan moden dan kontemporari ditonjolkan dengan pilihan motif yang lebih segar dan mengikut trend semasa.
Namun dalam keterujaan menyaksikan rekaan yang moden dan santai, seorang pereka fesyen kelahiran Sarawak tampil mengangkat warisan dan keunikan suku kaum Melanau.
Abdul Latip Mohti atau terkenal dengan jenama Latip’s Collections membawa rekaan busana lelaki dan wanita yang diinspirasikan daripada Terendak Melanau.
Apa yang ditonjolkan kali ini ialah penghasilan busana seperti kemeja, gaun pendek dan stail baju lain dengan imej Terendak menjadi ‘penghias’ rekaan.
Ia seolah-olah menyaksikan imej Terendak itu sendiri ‘diletakkan’ pada setiap busana yang dihasilkan.
Katanya keunikan budaya Melanau sentiasa menjadi inspirasi dalam setiap busana yang dihasilkan.
“Penting untuk saya meneruskan kegemilangan kaum Melanau kerana ia semakin dilupakan oleh anak muda hari ini,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Tambahnya pembaharuan ini diharap akan dapat sambutan anak muda khususnya mereka yang berketurunan Melanau supaya ia terus boleh dinikmati oleh generasi akan datang.
“Apa yang cuba hasilkan adalah sama dengan pembaharuan yang mereka lakukan pada corak pua kumbu, dengan stail yang lebih kontemporari pua kumbu nampaknya diterima baik dan mendapat permintaan komersial yang tinggi maka saya berharap Terendak akan turut dihargai sama seperti warisan kebudayaan lain,” tambahnya.
Anak jati Mukah ini sememangnya terkenal kerana iltizamnya dalam memartabat dan mengangkat kesenian, warisan dan keunikan etnik Melanau di pentas komersial.
Tambahnya banyak elemen budaya Melanau yang lain yang ingin ditonjolkan kerana orang ramai masih belum mengenali etnik Melanau sepenuhnya.
Maka ujarnya dengan platform seperti ini, ia akan beri peluang kepada pereka fesyen sepertinya untuk terus berkarya menghasilkan sesuatu yang unggul dalam masa sama terus memelihara budaya warisan.
#Astro Awani
#Borneo Fashion Week 2019
#kontemporari
#Kota Kinabalu
#Latip s Collections
#Melanau
#pereka fesyen
#rekaan moden
#Sabah
#Terendak
#Terendak Melanau