Pelantun lagu Hey Ladies itu menegaskan, pemilihan pasangan duet tidak semata-mata berdasarkan populariti dan setiap bakat berpotensi untuk mencipta sesuatu yang segar dan bermakna dalam sesebuah karya.
"Biasanya, jika ingin memilih rakan duet, saya akan mendapatkan materialnya (lagu) terlebih dahulu. Apabila lagu sudah ada, barulah saya mencari penyanyi yang bersesuaian.
"Saya tidak kisah sama ada artis itu baharu atau lama, yang penting ada keserasian antara kami... barulah lagu itu akan 'menjadi'," katanya ketika ditemui pada rakaman episod istimewa audio siar Usanita: Unwrapped Kisah Di Sebalik Spotlight Special Edition With Dato' Sri Rossa, baru-baru ini.
Episod istimewa yang dihoskan oleh pelakon dan pengacara popular, Awal Ashaari, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Hasan, dijangka memberi perspektif mendalam mengenai perjalanan karier seni Rossa yang menginspirasi ramai peminatnya di seluruh Nusantara.
Lagu-lagu duet Rossa, atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, 46, bersama penyanyi dari Malaysia dan Indonesia sering mendapat tempat di hati peminat sehingga terus menjadi siulan ramai.
Antara penyanyi yang pernah berkolaborasi dengannya termasuk Hafiz Suip menerusi lagu Salahkah, Joe Flizzow (One Night Lover dan Katakan), Ariel Noah (Nada-nada Cinta), Pasha Ungu (Terlanjur Cinta), Afgan (Kamu Yang Kutunggu), dan Taufik Batisah (Aku Bersahaja).
Ratu pop Indonesia itu turut berkongsi pernah ditawarkan untuk berlakon dalam sinetron, namun cintanya terhadap karier nyanyian yang diceburi lebih dua dekad lalu tetap utuh.
Sementara itu, Adzliana berkata, Rossa dipilih sebagai selebriti pertama untuk merasmikan cabang terbaharu di bawah Usanita Sdn Bhd, iaitu Usanita Entertainment, yang komited memperkasa dan menaik taraf industri kreatif tempatan.
Adzliana yakin penglibatan Rossa sebagai figura utama mampu memberi impak besar, memandangkan beliau bukan sahaja dihormati sebagai penyanyi tetapi juga sebagai ikon yang berperanan penting dalam memupuk hubungan antara penggiat seni Malaysia dan Indonesia.
"Kami berbangga dapat memulakan langkah pertama ini dengan Datuk Seri Rossa, yang membawa pengalaman dan pengaruh antarabangsa dalam arena kreatif.
"Ini seterusnya membuka jalan untuk kerjasama yang lebih besar pada masa hadapan," katanya. - BERNAMA