'Terbaik Dari Langit' dipertandingkan di Festival Filem Antarabangsa Tokyo
Muzaffar Mustapa
September 30, 2014 16:28 MYT
September 30, 2014 16:28 MYT
Filem terbaru arahan pengarah Nik Amir Mustapha, “Terbaik Dari Langit” bakal dipertandingkan di Festival Filem Antarabangsa Tokyo.
Nova, judul filem itu untuk pasaran antarabangsa akan dipertandingkan dalam kategori Asian Future di festival filem itu yang bakal bermula pada 24 Oktober depan.
Menurut laman web rasmi festival itu, filem Terbaik Dari Langit (Nova) akan ditayangkan pada 28 Oktober (5.45 petang waktu Tokyo) dan 29 Oktober (1.20 petang waktu Tokyo).
Diterbitkan oleh Playground Film dan Astro Shaw, filem itu dibintangi Bront Palarae, Iedil Putra, Megat Sharizal, Amerul Affendi, Nadiya Nisaa’, Sharifah Amani dan Siti Saleha.
Yakin dengan apa yang pernah dilihatnya 15 tahun lalu adalah sebuah UFO, Berg bersama empat rakannya memulakan pengembaraan ke lokasi yang sama untuk merakam objek tersebut dalam sebuah filem. Mereka kemudiannya menyedari yang pengembaraan itu lebih daripada apa yang mereka sangkakan.
Skrip Terbaik Dari Langit (Nova) ditulis oleh Redza Minhat.
Sebelum ini di festival yang sama, filem arahan Yasmin Ahmad, Sepet pernah memenangi Filem Asia Terbaik pada 2005 dan Muallaf (Anugerah Khas Juri) pada 2008. Yasmin turut menerima Anugerah Khas Pencapaian Sepanjang Hayat pada 2009.