'Temberang' Ayda Jebat ajak lelaki berdangdut
Hilal Azmi
Disember 25, 2018 12:07 MYT
Disember 25, 2018 12:07 MYT
Single terbaharu Ayda Jebat, Temberang mendaki tangga populariti dalam masa yang sangat singkat.
Sejak muzik video lagu berkenaan dimuat naik sejak empat hari lalu di saluran Youtube, hampir sejuta orang sudah menontonnya.
Bagi penyanyi popular itu, kemunculan Temberang amat menyenangkannya kerana dia dan peminat-peminatnya harus menunggu selama dua tahun untuk mendengarnya.
"Saya macam dah 'Temberang' peminat saya, sebab sebelum ni asyik cakap nak keluar lagu, tak keluar-keluar juga.
"Proses menunggu ini bukan suka-suka, tetapi ia lebih kepada menunggu giliran dan masa yang sesuai sebab saya percaya ada hikmahnya dan saya percaya, kalau saya bagi peluang kat artis lain, mereka pun bagi laluan kepada kita," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mengakui, dia sendiri sudah penat berjanji dengan peminat-peminatnya selepas single Pencuri Hati yang dilancarkan pada 2016, Ayda menyifatkan penantian itu amat berbaloi.
Lantaran enggan mengecewakan peminat-peminatnya, Ayda turut membekalkan peminat-peminatnya muzik video Temberang yang menjadi pelengkap kepada perancangan muncul dengan produk baharu.
Bagi Ayda, sepanjang proses menunggu giliran itu membolehkan lebih ramai penaja dikumpulkan sehingga mampu mengeluarkan muzik video yang amat memuaskan hati baginya.
"Saya amat berpuas hati dengan hasil akhir muzik video berkenaan.
"Lagu ini pada asalnya saya sasarkan kepada abang-abang yang teringin nak berdangdut agar mereka boleh goyang bila dengar lagu ini.
"Untuk muzik video pula, saya suntik elemen Kpop dan Jpop yang lebih terang, berwarna warni dan kelakar agar menarik minat kanak-kanak dan remaja," tambahnya.
Ayda pada masa sama akan membuat jelajah promosi Temberang di Singapura dalam minggu ini dan akan meneruskannya ke Indonesia awal tahun depan.
"Ada yang tanya saya kenapa lirik lagu Temberang ada bunyi seperti Indonesia?
"Bagi saya, kita di nusantara boleh guna apa jua perkataan dalam Bahasa Melayu yang mudah difahami tanpa perlu saya buat versi lain untuk jual lagu ni ke negara lain terutamanya Indonesia," jelas Ayda.
Bercakap tentang perancangan 2019, Ayda mendedahkan dia akan mengeluarkan album baharu yang menampilkan elemen balada dan pop.