'Telur mata kerbau dan nasi lemak sambal ikan bilis' taruhan Miss Universe Malaysia

Azyyati Ahmad
Oktober 31, 2017 18:10 MYT
Gaun khas itu direka khas oleh pereka tempatan Brian Khoo bagi pertandingan ratu cantik Miss Universe 2017 yang bakal berlangsung di Las Vegas pada 26 November ini. - Foto Instagram Miss Universe
Keunikan Malaysia sekali lagi cuba ditonjolkan dalam rekaan busana khas pertandingan ratu cantik Miss Universe, bagi mencuri perhatian bukan sahaja juri, malah peserta yang bertanding.
Bermula dengan tahun lalu, bekas Miss Universe Malaysia, Kiran Jassal yang memakai kostum khas dengan replika menara berkembar KLCC tersemat di bahu rekaan Rizman Ruzaini untuk pertandingan itu.
Tahun ini, keunikan negara sekali lagi dicernakan dalam rekaan busana yang membawakan tema ‘Nasi Lemak’ – sarapan tradisi negara yang bakal disarungkan oleh Miss Universe Malaysia, Samantha Katie James.
Gaun khas itu direka khas oleh pereka tempatan Brian Khoo bagi pertandingan ratu cantik Miss Universe 2017 yang bakal berlangsungdi Las Vegas pada 26 November ini.
Menariknya, gaun yang menggunakan warna putih dan merah sebagai simbol nasi dan sambal turut disematkan sebiji telur mata kerbau, timun, ikan bilis dan juga daun pisang.
Lapor Elle Malaysia, rekaan berkenaan mengambil masa sebulan untuk disiapkan.
Samantha, 22, akan bersaing dengan 41 peserta ratu cantik seluruh dunia dalam edisi ke-66 pertandingan Miss Universe 2017.
#Brian Khoo #gaun nasi lemak #Miss Universe #Miss Universe Malaysia #Samantha Katie James
;