Telefon penonton berbunyi waktu pementasan. Apa Kevin Spacey buat?

Agensi
Jun 5, 2014 18:42 MYT
Pelakon siri drama televisyen The House of Cards itu sedang mementaskan drama terkenal Clarence Darrow.
Pelakon Kevin Spacey menegur seorang penonton pada malam pembukaan pementasan drama pentas monolognya pada Rabu selepas telefon penonton itu berbunyi semasa pementasan berjalan.
Pelakon siri drama televisyen The House of Cards itu sedang mementaskan drama terkenal Clarence Darrow. Pementasan itu sebagai merayakan sedekad penglibatannya sebagai pengarah artistik panggung teater The Old Vic di London.
Drama yang mengambil latar kurun ke-19 di Amerika itu menceritakan pengalaman Darrow sehingga jadi peguam terkenal dan tokoh hak sivil.
Telefon penonton itu berbunyi semasa satu adegan penting, lapor laman web akhbar The Independent. Telefon itu terus berbunyi makin kuat namun tidak diendahkan oleh pemiliknya.
Tanpa keluar daripada wataknya, Spacey melenting dan menjerkah penonton itu: "Kalau kamu tidak mahu jawab telefon itu, biar saya jawab!"
Reaksinya itu mendapat tepukan gemuruh para penonton.
Ini adalah kali ketiga Spacey melakonkan watak Darrow. Kali pertama dalam satu pementasan pada 2009 dan sebelum itu dalam sebuah filem terbitan PBS pada 1991.
Menurut Spacey, beliau tertarik dengan watak itu yang disifatkannya "unik dan berani".
"Beberapa pelakon pujaan saya pernah melakonkan watak ini... Henry Fonda, Orson Welles dan Spencer Tracy," katanya.
Beliau juga menyifatkan drama itu sebagai sesuatu yang dekat dengan hatinya serta mencabar. Ini adalah kali pertama Spacey mementaskan lakon pentas secara solo.
Sepanjang sedekad bersama produksi Old Vic, Spacey pernah mementaskan Richard III dan The Philadelphia Story. Beliau akan melepaskan jawatannya pada akhir tahun ini.
#Kevin Spacey #monolog #teater #The House of Cards
;