Telefilem Aku Benci Raya lakonan Awie-Erra khas untuk yang single?
Gempak
Julai 16, 2015 15:18 MYT
Julai 16, 2015 15:18 MYT
SUASANA raya semakin terasa! Namun tidak semua orang mempunyai mood untuk beraya, lebih-lebih lagi di kalangan mereka yang masih lagi single serta masih belum menemui kekasih hati atau calon suami atau isteri.
Apa tidaknya di kesempatan inilah keluarga serta sanak-saudara akan mengambil kesempatan untuk bertanyakan pelbagai soalan cepu emas:
“Engkau bila nak kahwin?
“Hai, cantik-cantik macam ini pun, belum ada boyfriend?
“Tak usahlah memilih sangat. Nak cari yang macam mana lagi? Kita ini makin lama makin tua…
“Mak ni bukan apa. Sementara masih hidup, aku teringin nak timang cucu…
Apakah anda sudah bersedia untuk berhadapan dengan segala soalan cepu emas ini? Terfikir untuk beraya di tempat lain?
Jangan, raya hanya setahun sekali. Inilah masanya untuk kita mengeratkan silaturrahim dengan kaum keluarga, sanak-saudara, sahabat handai serta siapa-siapa sahaja.
Namun, bagi anda yang berada di dalam ketegori single dan tidak ada mood untuk beraya, apa kata anda saksikan telefilem "Aku Benci Raya" yang bakal bersiaran di Astro Ria dan Astro Ria HD pada jam 10 pagi.
Dibintangi pasangan serasi di layar perak iaitu Awie dengan Erra Fazira, telefilem ini mengisahkan masalah yang dihadapi Erra Fazira setiap kali balik kampung untuk beraya.
Semua ibu saudara sibuk bertanya bila dia mahu berkahwin. Hal ini membuatkan Erra Fazira rimas.
Apakah yang Erra Fazira lakukan pada tahun ini untuk memastikan segala soalan cepu emas itu tidak akan diajukan buatnya lagi?
Awie ketika ditemui Astro Gempak pula memberitahu bahawa tajuk telefilem "Aku Benci Raya" itu memang sangat kena dengan dirinya yang tidak dapat beraya dengan semua anak-anaknya pada tahun ini.
“Malah, tajuk itu juga sangat kena dengan Erra Fazira juga. Tahun ini dia beraya seorang diri. Anaknya tahun ini beraya dengan keluarga bekas suaminya. Jadi, kami berdua memang sesuailah menjayakan telefilem ini,” kata Awie kepada sambil tertawa.
Menjelaskan lebih lanjut tentang Aku Benci Raya, Awie berkata, dalam telefilem ini, Erra Fazira sebenarnya cuba gunakan dirinya untuk menjadi teman lelaki palsunya.
“Memandangkan saya adalah seorang yang rugged, jadi Erra Fazira berharap bapaknya akan benci saya supaya tidak cakap pasal kahwin.
“Tapi bila saya berjaya bantu selesaikan satu masalah di kampung itu, tiba-tiba bapak dia dan seluruh orang kampung sukakan saya.
“Ketika itu, barulah Erra Fazira tahu bahawa saya sebenarnya adalah seorang peguam yang berpenampilan rugged dan bukannya kutu biasa seperti yang disangkakannya,” kata Awie lagi.
Untuk sambutan raya pada tahun ini Awie mengakui tidak membuat apa-apa persiapan raya pada tahun ini memandangkan dua orang anaknya bersama Rozana Misbun tiada di sisinya.
“Saya juga tidak tahu di mana saya akan beraya pada tahun ini. Mungkin saya akan beraya di rumah kakak-kakak saya. Tengoklah macam mana nanti,” katanya Awie lagi dengan nada sedih.