Teknologi AI: Membuka horizon baru dalam bidang seni

Irwan Muhammad Zain
Jun 3, 2023 20:58 MYT
Amat penting bagi seniman untuk menggabungkan kecerdasan buatan dengan kepekaan dan kreativiti manusia, menjaga keunikan ekspresi dan nilai-nilai seni. - Gambar Facebook Imuda
KEMAJUAN teknologi telah membawa kesan yang signifikan dalam dunia seni dan memberikan peluang baru bagi para seniman untuk lebih kreatif.
Teknologi memungkinkan seniman untuk menciptakan karya yang lebih inovatif, menggabungkan berbagai elemen visual, audio, dan interaktif.
Mutakhir ini pula heboh diperkatakan tentang kemajuan dalam teknologi yang melibatkan kecerdasan buatan (AI) yang memainkan peranan dalam bidang termasuk seni.
Amat penting bagi seniman untuk menggabungkan kecerdasan buatan dengan kepekaan dan kreativiti manusia, menjaga keunikan ekspresi dan nilai-nilai seni.
Dalam sinergi antara manusia dan mesin, AI dapat menjadi alat yang kuat untuk memperluas batas kreativiti seniman dan mendorong inovasi yang menarik dalam dunia seni.
Bagi Datuk M.Nasir, perkembangan teknologi seperti AI telah membawa perubahan yang signifikan dalam dunia seni dan memberikan peluang baru bagi para seniman untuk mengeksplorasi dan menciptakan karya yang lebih inovatif.
Beliau berpendapat, dengan ketekunan, inovasi, dan kemampuan untuk menggabungkan kreativiti dengan kecanggihan AI, seniman dapat terus menciptakan karya yang bermakna dan mempertahankan peranan penting mereka dalam dunia seni
"Sewaktu pertama kali teknologi diperkenalkan dalam apa juga bidang termasuk bidang seni, ramai yang menentang atau sukar menerima perubahan ini.
"Tetapi lama kelamaan, mereka guna pakai teknologi yang diperkenalkan itu dan satu benda baru yang dapat dihasilkan.
"Sekarang ini mungkin teknologi sudah sampai kemuncaknya, kita tidak tahu apa yang keluar dari perkembangan-perkembangan baru ini.
"Mungkin jika ada yang tidak dapat menguasai dunia teknologi, mungkin masa dia sudah habis," katanya.
Perkembangan AI dalam seni juga menimbulkan perdebatan antaranya, apakah karya seni yang dihasilkan oleh AI dapat dianggap sebagai karya seni yang asli dan mencerminkan ekspresi manusia.
Penulis lirik dan pelukis S.Amin Shahab berpendapat terpulang kepada individu dalam menentukan buruk baik teknologi dalam apa juga bidang termasuk seni.
"Kita tidak boleh menghalang perkembangan ini kerana teknologi ini sudah berada dalam hidup kita setiap hari dan apa juga bidang.
"Terpulang kepada masing-masing, balik kepada diri masing-masing ke mana kita mahu ambil benda tu, di mana kita nak pakai benda itu.
"Kalau pakai yang baik, baiklah jadinya, kalau pakai tak baik, sebaliknya lah, jadi terserah kepada diri sendiri," ujar beliau.
Pelukis dan pelakon Imuda pula berpendapat, perkembangan teknologi dalam bidang seni juga sama seperti bidang lain yang tidak sepatutnya dihalang sebaliknya perlu diraikan.
"Kita tak boleh melarang atau menghalang perkembangan ini kerana ia merupakan trend sekarang.
"Dan untuk masa depan juga kita pun apa lagi trend baru yang akan datang dalam semua bidang termasuk juga dalam bidang seni.
"Buat masa ini, macam yang ada sekarang inilah," katanya.
Tiga sosok penting dalam bidang seni ini berkongsi pandangan dalam satu forum Pentas Rakyat: Tentang Seni sempena penganjuran Tempatan Fest yang telah memasuki tahun ke-10.
Namun, walaupun kemajuan teknologi memberikan manfaat yang besar, penting bagi seniman untuk tetap menghargai nilai-nilai tradisional seni dan keaslian ekspresi mereka.
Meskipun teknologi dapat menjadi alat yang kuat, seniman harus tetap menjaga kepekaan dan keunikan individual mereka.
#AI #Seniman #kreatif #Tempatan Fest
;