Sah! Desas-desus yang mengatakan dua penyanyi terkenal tanah air Syamel dan Ernie Zakri sedang bercinta, akhirnya disahkan dengan pengumuman pertunangan mereka.

Dalam catatan terbaharu di Instagram, Syamel, atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly mengharapkan agar urusan mereka berdua dipermudahkan sehingga ke akhir hayat.

“Alhamdulillah. Terima kasih mendoakan yang baik baik untuk kami. Semoga dipermudah urusan hingga akhir hayat.

"Semoga perjalanan yang bermula dengan majlis pertunangan yang sederhana bersama kaum keluarga ini diredhai dan diberkati,” katanya dalam catatan yang disertakan dengan gambar Ernie, anggun menggayakan busana berwarna kelabu, rekaan AMAZÉ.



Lapor media tempatan, majlis pertunangan itu berlangsung secara ringkas di kediaman Ernie.

Majlis itu, walaupun ringkas demi mematuhi prosedur standard operasi, ia tetap meriah dengan kehadiran ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Semoga kebahagiaan kekal ke jinjang pelamin, dan seterusnya hingga ke akhir hayat!