Teka-teki Hanyut di Malaysia, Gunung Emas di Indonesia terjawab esok
Muzaffar Mustapa
Oktober 30, 2014 21:17 MYT
Oktober 30, 2014 21:17 MYT
Satu sidang media berkenaan nasib filem terbaru arahan pengarah U-Wei HajiSaari iaitu Hanyut bakal diadakan di Hulu Kelang esok.
Filem terbitan Tanah Licin Sdn. Bhd. itu akan ditayangkan di Indonesia mulai 6 November depan.
Di Indonesia, judul filem tersebut ditukarkan kepada Gunung Emas – Almayer.
Persoalan mengapa filem tersebut ditayangkan di negara seberang lebih awal dari ditayangkan di pawagam tempatan masih belum terjawab.
Filem itu dibintangi Peter O'Brien, Sofia Jane, Adi Putra, Diana Danielle, Alex Komang, Khalid Saleh, Bront Palarae dan ramai lagi
Filem itu yang memulakan penggambaran sekitar tahun 2010 siap sepenuhnya tahun lalu.
Menelan belanja lebih RM11 juta, filem itu beberapa kali dijadualkan ditayangkan di panggung tempatan namun ditangguhkan.
Sewaktu ditayangkan di Festival Filem Asia Jogja – NETPAC tahun lalu, pengarah festival tersebut, Budi Irawanto meletakkan filem Hanyut sebagai filem yang kaya alegori budaya dan mempunyai dasar cerita yang kukuh.
Ditulis berdasarkan novel pertama Joseph Conrad berjudul “Almayer’s Folly”, filem tersebut bercerita tentang Almayer, pedagang dari Belanda yang berjuang untuk hidup di Malaya pada akhir abad ke-19. Impiannya mencari mitos gunung emas ditentang isterinya, Mem, para penguasa dan politik pimpinan tempatan serta pedagang Arab dan digawatkan lagi dengan percintaan anak perempuannya dengan seorang putera Melayu yang menuntut kebebasan.