Tegkang, filem terbitan Sarawak di pawagam mulai hari ini
Bernama
November 28, 2024 11:50 MYT
November 28, 2024 11:50 MYT
KUCHING: Tegkang, sebuah lagi filem diterbitkan di Sarawak yang memaparkan kehidupan serta budaya masyarakat Kelabit, salah satu kumpulan etnik negeri itu ditayangkan di pawagam di seluruh negara bermula hari ini.
Hampir semua penggambaran filem ini dibuat di tanah tinggi Bario, berhampiran bandar Miri, dengan anak tempatan Josh Nawan yang memenangi anugerah First-Time Filmmaker Showcase di London September lepas, sebagai pengarah serta penulis skrip.
"Saya menulis skrip pada tahun 2010, tetapi mengambil masa bertahun-tahun untuk memurnikan skrip itu sebelum kami bersedia memulakan penggambaran," Josh memberitahu sidang akhbar selepas tayangan media Tegkang di sini, semalam.
Menurut beliau, filem yang tajuknya menggunakan bahasa Kelabit bermaksud "pelangi," berkisar mengenai rahsia yang lama terpendam dalam kalangan komuniti Kelabit tetapi kemudiannya dibongkar oleh seorang lelaki yang menjelajah ke kawasan pergunungan Bario sebagai pelancong.
Josh turut berkongsi bahawa beliau banyak menghabiskan masa tinggal di rumah panjang Kayan semasa remajanya dan pengalaman itulah yang memberi inspirasi untuk menghasilkan skrip filem Tegkang dengan keseluruhan penggambaran mengambil masa 40 hari.
Tegkang merupakan filem pertama dengan Josh sebagai pengarah selepas menjadi penolong pengarah untuk dua buah filem dan satu siri televisyen.
Beliau mengakui banyak cabaran besar yang ditempuhi sepanjang penggambaran dan salah satu daripadanya, bekerja dengan barisan bakat yang buat pertama kali berlakon.
"Kami mengadakan bengkel lakonan untuk membantu mereka yang dipilih dan kami bernasib baik mendapat bakat yang begitu sesuai memainkan watak masing-masing, " katanya.
Memegang watak utama ialah Shafie Naswip (pernah tiga kali memenangi anugerah Pesta Filem Malaysia) dan aktres tempatan yang sedang meningkat namanya, Michelle Lungan yang pernah muncul dalam filem disiarkan di televisyen, Hidden Movie.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Tegkang, Lyn Nashin tidak menolak kemungkinan untuk sambungan filem berkenaan, berdasarkan bayangan yang dibuat di sepanjang filem itu segalanya akan menjadi jelas dalam tontonan berikutnya.
"Jika orang minat dan seronok menonton filem ini dan mahukan lagi, kami juga bersedia untuk menyambung filem ini," tambahnya.
-- BERNAMA