Teater Throne of Thorns: Naskhah Shakespeare bernafas Mak Yong
Israr Khalid
Februari 18, 2017 15:28 MYT
Februari 18, 2017 15:28 MYT
PERIHAL perebutan kuasa, hasad dengki, pergaduhan adik-beradik sering kita temui dalam cerita-cerita Melayu, dari dulu hingga kini.
Namun sebenarnya ia bukan perkara yang terlitup dalam ruang alam Melayu sahaja, perihal-perihal itu juga wujud dalam mana-mana peradaban manusia yang bermasyarakat di atas muka bumi ini.
Menyedari hakikat itu, Norzizi Zulkifli mengangkat isu tersebut sebagai kajian utama dalam pengajian Doktor Falsafah (PhD) beliau di University of Wollongong, Australia dan kini pulang selepas menamatkan pengajiannya di sana dengan membawa buah tangan terbaharu bertajuk ‘Throne of Thorns.’
Dipentaskan di Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bermula 17 hingga 19 Februari, teater kontemporari ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada projek akhir pengajian Norzizi yang berdasarkan naskhah ‘The Tempest’ karya William Shakespeare.
Kata Norzizi, beliau mendapati isu yang diangkat dalam karya legenda teater Inggeris itu banyak persamaan dengan dunia Melayu dan dikiranya wajar untuk diadunkan bersama.
“Kita manusia berbeza agama, budaya dan sebagainya tetapi kita cuba mencari titik temu. Dalam ketidaksamaan, kita sebenarnya sama,” jelas Norzizi.
Kesamaan yang dilihat Norzizi itu diterjemah dengan menyuntik naskhah Barat itu dengan seni persembahan pentas tradisional yang dicintainya iaitu Mak Yong.
Teater itu kali pertama dipentaskan pada 25 hingga 28 Februari 2015 dengan dibarisi 10 pelakon yang merupakan graduan Seni Persembahan dan Sekolah Seni, Inggeris dan Media dari Fakulti Undang-Undang, Kemanusiaan dan Seni universiti tersebut.
Menyaksikan ‘orang putih’ bertari lenggok Mak Yong dan melafaz ‘ala awe’ dan ‘iyo lah’, sememangnya satu persembahan yang menarik untuk ditonton.
Cerita Norzizi, proses ‘meMelayukan’ pelakon Australia bukan satu tugas mudah, menyifatkannya cabaran terbesar dalam mementaskan ‘Throne of Thorns.’
“Di Australia dulu kami berlatih hampir enam bulan, dari seminggu sekali hinggalah lima hari seminggu. Proses melatih gerak dan postur tubuh Melayu, kerana saya mengolah naskhah ini berdasarkan Mak Yong, paling penting adalah pada gerak jari. Memang susah, tapi Alhamdulillah segalanya lancar.
“Mereka sangat suka sebenarnya. Mereka hendak berkolaborasi dengan saya sebab tertarik dengan perbezaan budaya. Pada mereka, teater Barat itu sudah biasa dan ini merupakan sesuatu yang baru.”
Pengalaman belajar dan bekerja dengan barisan pelakon dan kru Australia banyak mengajarnya ilmu baru dalam dunia teater.
Bagaimanapun beliau menegaskan, teater tempatan sebenarnya tidak jauh ketinggalan daripada mereka di Australia mahupun di Barat.
“Cuma (dari segi) kualiti, seperti disiplin tinggi, peruntukan dan terutamanya usaha kajian naskhah, kita masih kurang. Mereka melakukan banyak kajian, dan saya lihat itu yang membantu mematangkan proses menterjemah naskhah.
“Selalunya kita di sini, tugas mendalami naskhah terletak pada bahu pengarah dan pelakon sahaja. Tetapi jika keseluruhan produksi turut melakukan kajian terhadap sesebuah karya. itu saya rasa ia akan menjadi lebih baik.”
Sementara itu bagi teraju utama, Catherine McNamara yang memegang peranan ‘Raja’, mengakui teruja untuk berpentas di hadapan khalayak Malaysia.
Jelasnya, ini merupakan pengalaman teaternya yang pertama disuntik dengan elemen yang disifatnya ‘berlainan dan baru’ berbanding kerja-kerjanya sebelum ini.
“Saya mendapati ini sangat penting dalam pembangunan saya kerana mengajar saya untuk lebih disiplin dan membuka minda kepada budaya lain, belajar bahasa baru.
“Bekerja dengan Norzizi bersama University of Wollongong memang mengujakan dan hebat. Saya rasa istimewa untuk dapat terlibat dalam produksi ini, banyak saya belajar.”
Antara lain yang turut membintangi teater ini adalah Natalie Wilson, Toni-Lea Porter, Lauren Bacon, Luke Standish, Georgia Broderick, Adrian Tolhurst, Daniel Hills, Tahlee Leeson dan Heather Riley.
Selain barisan pelakon dan tenaga produksi daripada universiti tersebut, pementasan ini turut disempurnakan dengan penampilan bintang Mak Yong negara Zamzuriah Zahari dan suaminya Baishah Husin sebagai pemain rebab.
‘Throne of Thorns’ mengisahkan Raja (Prospero), pemerintah negeri Inderapura dirampas takhta oleh adiknya Tamak (Antonio) lalu dibuang ke sebuah pulau.
Berang dan ingin membalas dendam, Raja menggunakan kuasa saktinya untuk menenggelamkan kapal dinaiki adiknya yang sedang berlayar di laut, lalu terdampar ke pulau itu, membolehkan dua beradik itu kembali bersemuka dan membuat perhitungan.
Tiket boleh didapati di Aswara dengan harga RM20 dan RM10, manakala untuk tempahan atau sebarang pertanyaan, boleh menghubungi talian 03-2697 1777, 03-2697 5916, 03-26975924 5513 atau e-mel info@aswara.edu.my.
#Akademi Seni
#Aswara
#Budaya dan Warisan Kebangsaan
#Catherine McNamara
#mak yong
#Norzizi Zulkifli
#teater kontemporari
#Throne of Thorns