Teater 'Tanah Akhirku' anjur Malam Gala kutip dana
Afiezy Azaman
Ogos 23, 2018 17:46 MYT
Ogos 23, 2018 17:46 MYT
Pementasan teater Tanah Akhirku akan mengadakan Malam Gala yang akan dihadiri oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Malam Gala yang akan diadakan pada 28 Ogos di Panggung Sari, Istana Budaya itu bertujuan untuk mengutip dana bagi menampung kos produksi yang mencecah RM500,000.
Menurut produser teater berkenaan Mei Fen Lim, ramai menasihati beliau untuk tidak mendedahkan masalah yang dihadapi berkaitan dana namun memilih untuk berterus –terang kerana tidak mahu menipu dan berjanji.
“Perjuangan kali ini memang sangat mencabar kerana saya mula mengetuk pintu dana sejak Februari lagi namun masih gagal mendapatkan sebarang penajaan,” ujar Mei Fen dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tiket Malam Gala boleh dibeli pada harga RM500 dan RM1,000 melalui talian 016-483 3786 (Fong) atau 012-475 7728 (Faez Malek).
Teater karya Amar Amir ini akan menemui penonton pada 28 Ogos hingga 1 September ini bermula 8.30 malam dan dibarisi pelakon Aeril Zafril, Mei Fen Lim, Erma Fatima, Izzue Islam, Nina Nadira, Nave VJ, Akmal Ahmad, Alfred Loh, Iskandar Zulkarnain dan Angeline Tan.
Teater Tanah Akhirku di bawah arahan Naque Ariffin dan Aloeng Silalahi ini mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang gadis bernama Yin Feng bersama adiknya yang berasal dari tanah besar China dan lari ke Tanah Melayu untuk mencari kehidupan baharu.
Sementara itu, Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Profesor Datuk Ir Mohd Rizon Juhari berkata pihaknya bersetuju untuk menyumbangkan RM150,000 bagi menjayakan teater berkenaan.
“ASWARA mahu melihat pelajar berkeyakinan dan karya professional dalam industri. Peluasan seni dan budaya adalah salah satu agenda utama Aswara dengan mencungkil bakat pelajar sekolah yang meminati bidang seni memasuki Aswara pada peringkat diploma dan ijazah,” katanya.
Tanah Akhirku akan dipersembahkan dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris dengan tiket berharga RM40, RM60, RM110, RM150, RM200, RM250 dan RM350 yang sudah mulai dijual melalui http://airasiaredtix.com pada 13 Julai 2018.
Istimewa buat pembaca Astro AWANI!
Jawab soalan di bawah berserta slogan untuk memenangi sepasang tiket ke Malam Gala Tanah Akhirku, jam 8.30 malam, 28 Ogos ini di Panggung Sari, Istana Budaya. Lima pasang tiket menanti anda, jadi jangan lepaskan peluang ini!
1. Namakan salah seorang pelakon utama teater ini?
2. Lengkapkan slogan berikut: 'Saya ingin menonton pementasan Tanah Akhirku kerana ......' (tidak lebih daripada 15 patah perkataan)
Hantarkan jawapan berserta nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor untuk dihubungi, dan e-mel ke tanahakhirkuawani@gmail.com, selewat-lewatnya jam 6 petang, 25 Ogos 2018.