Teater muzikal Phantom kembali ke Singapura

Astro Awani
April 12, 2013 08:15 MYT
Teater muzikal popular yang disifatkan paling berjaya di dunia, The Phantom of the Opera akan kembali membuat persembahan di Singapura selama lebih kurang sebulan bermula Julai ini.
Teater muzikal hasil karya Andrew Lloyd Webber itu akan buka tirai pada 16 Julai dan membuat persembahan sebanyak 24 kali sebelum melabuhkan tirai pada 11 Ogos.
Ia akan dipersembahkan The Mastercard Theatres di Marina Bay Sands.
The Phantom of the Opera tahun ini masuk tahun yang ke-27 dipentaskan di West End, London dan tahun yang ke-26 di Broadway, New York. Ia mendapat sambutan yang hangat di serata dunia dan pada tahun ini dipentaskan antaranya di Johannesburg, Tokyo, Budapest dan Hamburg.
Teater muzikal itu telah ditonton oleh lebih 130 juta orang di lebih 27 buah negara. Ia telah mencatatkan keuntungan lebih daripada AS$5.6 bilion (RM17 bilion). Ia bukan hanya sebuah persembahan yang popular tetapi diiktiraf bermutu apabila menang lebih 50 anugerah teater.
Penerbit Kerry Comerford berkata, teater muzikal ini sangat unik kerana banyak sebab dan ia berada dalam kelasnya yang tersendiri.
"Ia telah mendapat penghargaan selama beberapa tahun dan kejayaannya di serata dunia sehingga hari ini masih tidak dapat ditandingi oleh mana-mana muzikal," katanya.
The Phantom of the Opera memulakan persembahannya di London pada 27 September 1986 dan pada 2011 mengadakan dua persembahan khas untuk sambutan ulang tahunnya yang ke-25.
Persembahan di Singapura ini diterbitkan oleh The Really Useful Group.
Comerford menambah, persembahan itu sama bagusnya dan setaraf dengan persembahan di West End dan Broadway.
"Kami berusaha bersungguh-sungguh memastikan standard yang tinggi," katanya lagi.
The Phantom of the Opera pernah dipentaskan di Singapura pada 2007 dan semua tiket untuk persembahan pada ketika itu, habis terjual.
"Saya yakin penonton di Singapura akan meraikan kehadiran muzikal penuh legenda ini," kata Comerford.
Persembahan di Singapura akan menampilkan barisan pelakon dan pemuzik terbaik dalam industri yang datang dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Eropah, Australia dan Afrika Selatan, melibatkan 130 orang pelakon, krew dan pemain orkestra.
Teater muzikal ini diangkat daripada novel Perancis dengan judul yang sama yang ditulis oleh Gaston Leroux yang pertama kali terbit pada 1909.
Pada 2004, ia diangkat sekali lagi ke layar perak dan diarahkan oleh Joel Schumacher.
#Singapura #teater #The Phantom of the Opera
;