Teater muzikal Empress Wu menang besar
Astro Awani
Mei 1, 2013 07:43 MYT
Mei 1, 2013 07:43 MYT
Mendominasi segmen teater muzikal Anugerah Seni Boh Cameronian ke-10, "Empress Wu" menjadi pemenang utama apabila merangkul 6 dari 15 kategori.
Sementara Neo Swee Lin dan Farah Rani dari teater "Nadirah" dinobat sebagai pelakon utama dan pembantu terbaik.
"Empress Wu" menang koreografer terbaik, pelakon utama, pelakon pembantu dan persembahan pelakon terbaik berkumpulan.
Muzikal arahan Pun Kai Loon ini juga menang pengarah terbaik serta rekaan kostum dan tata rias terbaik.
Pesaing terdekat, "Everworld" yang memperoleh 9 pencalonan hanya menang tiga menerusi pengarah muzikal, karya asal dan kategori lagu asal terbaik.
“Nadirah" terpaksa akur apabila Jo Kukathas tewas kepada Norzizi Zulkifli dari "Usikan Rebab" untuk kategori pengarah terbaik.
Turut cemerlang, teater kontemporari "Bites of Delights" bagi kategori persembahan berkumpulan, bunyi dan muzik terbaik.
Karya arahan Ghafir Akbar ini menampilkan muzik gamelan dan dijayakan 26 kanak-kanak berusia 8 hingga 16 tahun.
Segmen tarian diungguli kumpulan Nyoba Kan menerusi "Catan Kulit" yang menang kategori penari utama, berkumpulan, koreografi, muzik dan bunyi terbaik.
"Wushu Madness", "Popzzical", "Everworld" menang kategori pilihan peminat untuk kategori masing-masing.
Mempertandingkan 36 kategori, Anugerah Seni Boh Cameronian ke-10 berlangsung pada Rabu malam di pusat membeli-belah Pavilion Kuala Lumpur.
Calon diadili 20 juri bebas profesional dalam bidang tarian, muzik, teater muzikal dan teater.