Taylor Swift ajak rakan artis 'belasah' Katy Perry
Madiha Abdullah
Mei 13, 2015 15:54 MYT
Mei 13, 2015 15:54 MYT
ANTARA topik yang hangat dibincangkan dalam kalangan penggemar muzik antarabangsa kini adalah kemunculan klip video terbaharu bintang muda, Taylor Swift.
Klip video single terbaharu Taylor berjudul "Bad Blood" itu amat dinanti-nantikan kerana ia membabitkan begitu ramai bintang terkenal, antaranya Hayley Williams, Ellie Goulding, Hailee Steinfeld, Lena Dunham, Karlie Kloss dan Jessica Alba.
Video muzik ala filem Sin City itu diarahkan oleh pengarah muzik video tersohor, Joseph Kahn, yang pernah mengarahkan beberapa video muzik hebat seperti Everybody (Backstreet Boys), Say My Name (Destiny's Child) dan Stronger (Britney Spears).
Beberapa poster 'teaser' video itu telah disebarkan di laman sosial sejak beberapa hari lalu. Malah Taylor sendiri turut memuat naik poster berkenaan di laman Twitternya.
Lagu "Bad Blood" diinspirasikan daripada hubungan dingin di antara Taylor dan artis Katy Perry. Ia dikatakan berpunca daripada hubungan peribadi mereka dengan John Mayor, namun dinafikan Taylor.
Sebaliknya kata Taylor, ketegangan hubungannya dengan Katy adalah bersifat profesional.
"Dia (Katy) pernah cuba sabotaj venue di mana berlangsungnya konsert saya, malah cuba membuatkan ramai kru yang bekerja dengan saya agar berhenti," kata Taylor dalam satu kenyataan.
"Bad Blood" akan mula menemui peminat 17 Mei ini.