Tayangan Wonder Woman 2 diawalkan
Astro Awani
November 14, 2017 18:32 MYT
November 14, 2017 18:32 MYT
Berita gembira buat peminat Wonder Woman. Tayangan perdana sekuel filem adiwira lakonan Gal Gadot itu Wonder Woman 2 yang sepatutnya 13 Disember 2019 dijadualkan semula kepada 1 November 2019.
Perkara ini dimaklumkan Warner Bros. Pictures menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Jika mengikut tarikh asal Wonder Woman 2 terpaksa bersaing dengan “Star Wars: Episode IX” arahan JJ Abrams yang turut menukar tarikh tayangannya dari May 2019 kepada 20 Disember 2019.
Satu-satunya filem bajet besar yang bakal menjadi saingan Wonder Woman 2 pada tarikh itu nanti adalah filem ke-25 James Bond yang dijadual ditayangkan pada 8 November 2019.
Selain Gal Gadot selaku tarikan utara Wonder Woman 2 turut mengekalkan Patty Jenkins selaku sutradara yang turut berperanan sebagai penulis skrip bersama Dave Callaham dan Geoff Johns.
Filem pertama Wonder Woman yang ditayangkan tahun ini berjaya mencatat kutipan global berjumlah AS$821 juta.